Kenali Kami

Foto saya
Kuala Ketil, Kedah, Malaysia
Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Teloi Timur, 09300, Kuala Ketil Kedah.

EXCO BKGSSKTT 2011

EXCO BKGSSKTT 2011

Pengerusi
: Mohammad Pisol bin Aziz

Naib Pengerusi : Za'im bin Omar

Setiausaha : Azrin bin Abdullah

Penolong Setiausaha : Mohd Nabil bin Othman

Bendahari : Sharifudin bin Ismail

AJK :

Yahaya bin Ismail
Ahmad Rashidi bin Jalil
Roslan bin Md. Ali
Nirmala a/p Sivanadam
Zunaidah binti Husain
Syafinah binti Mohd Saad
Azizah binti Mansor


Pemeriksa Kira-kira

Rohani binti Mat Saleh

Fauziah binti Saad

Selasa, Februari 12, 2008

CERITA BOLA - PERJUANGAN YG BELUM SELESAI....

Perjuangan Yang Belum Selesai
Hasil Nukilan - Abracadabra



Kosmetik dari tanah seberang yang diterbangkan pada saat-saat terakhir dengan menggunakan pesawat tambang murah, nampaknya belum cukup mampu untuk menyolekkan wajah Gergasi Merah.

Sabtu lalu di Shah Alam, raut muka Merah Kuning telah bertukar menjadi merah padam. 'Enam Jahanam' telah terlentang tumbang disesah oleh pasukan 'Dua Kali Lima' dalam satu pertembungan yang pada awalnya kelihatan agak seimbang.

Akhirnya Yob telah menepis segala prasangka buruk segelintir penyokongnya sebelum ini, langsung berjaya meletakkan lubang hidung betul-betul di muncung ekzos pasukan Kedah : hanya semata-mata untuk menyedut asap setiap kali pedal ditekan. Mereka telah berjaya menguis pasukan Selangor yang juga mengidamkan posisi yang sama. Atas semangat kesukanan yang tinggi sewajarnyalah kita mengucapkan sekalung tahniah pada mereka. Syabas Perak!

Di Pantai Timur pula, pasukan 'Jang Anak Omak' menjadi mangsa belasahan skuad 'Penyu Kristal'. Yunus Aliff mengucapkan 'hai-hai bye-bye' kepada rakan sejawatnya Wan Jamak Hassan sebelum menghantarnya pulang untuk mencermin diri di Batu Kikir 'jambatan bosi'.

Sementara di Kangar, jurulatih baru Singa Utara telah berjaya menyuntik nafas baru buat anak-anak buahnya untuk terus menghenyak pasukan ratahan, Pulau Pinang ke dasar liga. Ketika Irfan Bakti ingin benar-benar berbakti, Pulau Mutiara pula yang menjadi mangsa.

Untuk terus bernafas, Harimau Kumbang mestilah melakukan sesuatu. Jika tidak cabaran mereka hanyalah bertaraf tempelan persis hirisan sengkuang pada selonggok pasembur di Padang Kota.

Itu adalah antara senario menarik yang dapat kita saksikan pada perlawanan penutup tirai pusingan pertama kempen bolasepak Liga Super yang berlangsung Sabtu lalu. Awas, sebahagian dari episod seterusnya akan tersaji kemudian nanti.

Tetapi jika dicongak kembali, walau sehebat mana sekalipun pasukan-pasukan di atas bergumpalan sesama sendiri, atau apa jua bentuk strategi taktikal yang ditayangkan serta keputusan yang dicatatkan, mereka sebenarnya tetap berada di belakang pasukan Hijau Kuning yang tidak turun beraksi. Itu adalah satu keyataan yang terpaksa pasukan-pasukan berkaitan telan, samada suka atau pun tidak.

Menyorot sejenak ke belakang, jika direnung kembali rentetan liku-liku perjuangan yang terpaksa ditempuh oleh pasukan Hijau Kuning, sebenarnya terlalu banyak cabaran yang terpaksa direntasi oleh skuad Azrai sebelum berjaya menempatkan diri pada kedudukan tertinggi seperti ini di saat ini. Cabaran itu pula datang dalam berbagai bentuk dan rupa tetapi tetap sama hebatnya, tidak kira samada di atas padang atau pun di luar padang.

Isu Bunyamin Omar dan Zairul Fitree sebagai contoh, telah membuktikan bahawa dunia bolasepak tempatan sebenarnya masih dikelilingi oleh individu-individu yang mendakwa sebagai memiliki tahap 'pemikiran kelas pertama' tetapi dalam masa yang sama sanggup pula 'memperkosa' perundangan sukan semata-mata untuk memenuhi agenda tersendiri.

Tambah menyedihkan ada 'orang kita' yang bermurah hati turut bersengkongkol mengambil bahagian untuk menjayakan agenda bangsat itu. Ketololan mereka di dalam menghargai kemurnian sukan bolasepak itu sebenarnya telah mengorbankan pihak ketiga di samping menghiris perasaan kita semua.

Azrai dan kem kejurulatihan Kedah turut merasai tempiasnya. Segala percaturan dan strategi yang dirancang rapi sebelum ini sedikit sebanyak menjadi terhalang.

Tetapi sedikit demi sedikit, dengan ruang lingkup yang terbatas serta berpaksikan kepakaran yang ada, Azrai telah berjaya mengatasi kemelut yang melanda. Azrai telah membuktikan bahawa 'kebangsatan' itu bukanlah hukuman gantung yang mampu merentap semangat juang kentalnya untuk tunduk mengaku kalah. Itulah wajah sebenar Azrai. Syukur Alhamdulillah!

Di atas padang pula, ketika trio import semakin memperagakan kualiti permainan yang bermutu tinggi, import tempatan yang ada seolah-olah kurang berfungsi. Mujur segala kekurangan itu berjaya ditampung oleh tenaga anak-anak negeri yang tidak kurang hebatnya penampilan mereka ketika diberi peluang beraksi di gelanggang. Dan mereka telah membalas segala kepercayaan yang telah diberikan Azrai dengan menyerlahkan kesempurnaan!

Ketika ini fasa pertama saingan Liga Super sudah pun tamat. Separuh perjalanan telah berjaya diharungi oleh skuad Hijau Kuning, separuh lagi terbentang menanti.

Berasaskan segumpal azam, percikan semangat, ledakan cita-cita berserta bara keyakinan yang sentiasa menyala, kita yakin Sang Kenari akan terus melebarkan sayap untuk melayang tinggi di udara.

Hijau Kuning, selagi perjalanan ini belum ketemu titik muktamad, selagi itulah perjuangan belum selesai!

1 ulasan:

Pang5 berkata...

Malam ni pusingan ke-2 dah mula. Kedah tak main. Sapa pun menang, Kedah masih di atas.