Kenali Kami

Foto saya
Kuala Ketil, Kedah, Malaysia
Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Teloi Timur, 09300, Kuala Ketil Kedah.

EXCO BKGSSKTT 2011

EXCO BKGSSKTT 2011

Pengerusi
: Mohammad Pisol bin Aziz

Naib Pengerusi : Za'im bin Omar

Setiausaha : Azrin bin Abdullah

Penolong Setiausaha : Mohd Nabil bin Othman

Bendahari : Sharifudin bin Ismail

AJK :

Yahaya bin Ismail
Ahmad Rashidi bin Jalil
Roslan bin Md. Ali
Nirmala a/p Sivanadam
Zunaidah binti Husain
Syafinah binti Mohd Saad
Azizah binti Mansor


Pemeriksa Kira-kira

Rohani binti Mat Saleh

Fauziah binti Saad

Rabu, Julai 29, 2009

Rahsia Handphone

Tahukah anda bahawa telefon bimbit anda sedikit sebanyak boleh membantu di waktu kecemasan. Banyak perkara yang boleh anda lakukan, antaranya : -

1) NOMBOR KECEMASAN
- Sentiasa ingat bahawa nombor kecemasan untuk semua telefon adalah 112 . Jika anda dalam kecemasan dan berada di kawasan tiada liputan untuk semua talian telefon bimbit yang anda gunakan, cuba dail nombor kecemasan 112. Ia boleh digunakan walaupun di kawasan yang tiada liputan dan lebih menarik lagi, ia boleh terus didail walaupun papan kekunci telefon bimbit anda dikunci ( Keypad lock )

2) KERETA TERKUNCI
- Pernahkah anda tertinggal kunci kereta dalam kereta dan kereta anda ketika itu terkunci dari luar. Mesti anda lakukan pelbagai cara untuk mendapatkan kembali kunci bagi membuka semula kereta anda. Jangan risau, telefon bimbit boleh membantu, tapi bagi kereta yang menggunakan system penggera ( alarm ) sahaja . Caranya, cuba anda hubungi seseorang yang berada di rumah. Minta dia ambilkan kunci pendua kereta anda. Kemudian pegang telefon bimbit anda dari jarak kira-kira 30 sm ( satu kaki ) dari kereta yang terkunci itu. Minta pula keluarga atau teman di rumah menekan punat ON pada kunci pendua kereta dan pastikan dia menekan dengan mendekatkan pada telefon bimbitnya. Pasti kereta anda tidak terkunci lagi, malah ia boleh dilakukan dari jarak beratus-ratus kilometer dari tempat kereta anda berada. Kerana itu juga, penting untuk anda menyimpan kunci pendua atau meminta orang yang anda percayai untuk menyimpannya. Penting juga penggunaan telefon bimbit dalam keadaan sebegini. Kaedah ini memang berkesan kerana beberapa orang telah mencubanya.

3) KUASA BATERI TERSEMBUNYI
- Mungkin ramai tidak tahu, telefon bimbit yang telah kehabisan bateri masih boleh digunakan dalam keadaan kecemasan kerana ia mempunyai fungsi untuk menyimpan bateri tambahan. Bayangkan jika bateri telefon bimbit anda sudah terlalu lemah atau mati sedangkan anda perlu melakukan panggilan penting atau berada dalam kecemasan. Telefon bimbit jenis Nokia didatangkan dengan bateri simpanan. Untuk mengatifkannya, tekan kekunci *3370#. Telefon bimbit anda akan berjaya dihidupkan semula dan skrin telefon akan memberitahu telefon tentang penambahan kuasa bateri sebanyak 50 peratus. Kuasa tambahan ini juga akan dicas semula bila anda mengecas telefon bimbit anda.

4) TELEFON KENA CURI
- Bagaimana jika telefon bimbit anda dicuri? Anda boleh menjadikan ia tidak dapat diaktifkan dengan menekan nombor siri yang terdapat di telefon bimbit anda, sila dail *#06# dan15 digit nombor siri telefon bimbit anda akan tertera di skrin. Nombor ini adalah unik untuk setiap telefon bimbit. Catatkan nombor siri ini dan simpannya di tempat selamat. Bila telefon bimbit anda dicuri, anda boleh hubungi pusat servis telefon bimbit anda dan berikannya kod nombor siri tersebut. Mereka kemudiannya akan mengunci system dalam telefon bimbit anda dan sesiapa sahaja yang mencurinya pasti hampa kerana walaupun kad simnya telah ditukar, dia tidak akan berupaya mengaktifkan kembali telefon bimbit tersebut. Jadi, walaupun ia dicuri, namun sekurang-kurangnya anda berpuas hati kerana si pencuri tidak boleh menggunakannya ataupun menjualnya

Seorang teman pernah berpesan..
"Kadang² Allah sembunyikan matahari
Dia datangkan petir dan kilat
kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar
Rupa²nya..
Allah nak hadiahkan kita pelangi.."

Rabu, Julai 22, 2009

Ada juga yang bersolat sunat gerhana

Ketika kejadian gerhana matahari pagi tadi, dengan antara sedar dan tidak sedar warga SKTT menghadapinya disamping tidak berbuat apa-apa atau tidak tahu berbuat apa-apa selain melihat saja ia berlaku dan berlalu, sekumpulan guru dan murid telah menunaikan solat gerhana matahari bertempat di surau SKTT.

Berdasarkan firman Allah, "bertaqwalah kamu kepada Allah mengikut kemampuan kamu" (surah at Taghabun ayat 16), maka solat ini dikerjakan secara ringkas dalam masa tidak lebih dari sepuluh minit.

Alhamdulillah, tertegaklah satu lagi sunnah Rasulullah dengan inisiatif beberapa orang guru tadi. Bukannya nak menunjuk tetapi berkongsi pengalaman dan kesungguhan bahawa kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih dan alasan boleh diberikan.

::Kalau nak dikatakan menunjuk, orang yang berpuasa cakap kat orang yang dia berpuasa. Itu sah menunjuk.

Selasa, Julai 21, 2009

PETUA

Elakkan makan makanan darat bercampur dengan makanan laut.
Ini terbukti oleh saintis yang menemui di mana dalam badan ayam mengandungi ion(+) manakala dalam badan ikan mengandungi ion (-), jika dalam suapan ayam bercampur dengan ikan maka terjadi tindak balas biokimia yang terhasil yang boleh merosakkan usus kita.

MANDI AWAL PAGI SEBELUM SUBUH @ sekurang-kurangnya sejam sebelum matahari naik. Air sejuk yang meresap dalam badan boleh mengurangkan lemak berkumpul.


Wak Jik

Jumaat, Julai 17, 2009

Sengit atau senget

Akhirnya perang mulut antara Cikgu Halim dan Cikgu Shidi yang berlarutan selama dua tahun mencapai kemuncaknya apabila kedua-duanya bersetuju menamatkannya di arena. Maka tepat jam 8.00 pagi, hari Jumaat bertarikh 17hb. Julai, gelanggang badminton SKTT menjadi saksi dua musuh ketat itu berentap. Masing-masing yang berbekalkan kemahiran dan pengalaman cuba sedaya upaya mengalahkan lawan. Namun akhirnya tenaga juga yang menjadi faktor penentu perlawanan. Yang kurang bertenaga tewas kepada yang lebih sikit tenaganya.



Dalam perlawanan tersebut, En. Shidi memenangi set pertama dengan 21-16. Dalam set kedua, perlawanan agak sengit. Satu ketika En. Halim mendahului 16-15 tetapi terpaksa digantikan dengan pemain gantian kerana keletihan.(Sejak bila pula badminton ada pemain simpanan). Perlawanan set kedua pun dimenangi juga oleh En. Shidi.



Selepas perlawanan kedua-duanya dilihat berdamai dan duduk makan bersama. Ingatkan dah selesai, rupa-rupanya berlanjutan pula ke meja catur.

::Ustad A dipaksa jadi saksi.

Khamis, Julai 16, 2009

Anak sapa ni?

Pihak moderator blog telah diminta untuk meng'upload'kan gambar-gambar ini. Terserahlah kepada tafsiran masing-masing.







Bukannya orang lain. Anak kawan-kawan juga. Kalau tak bubuh nanti depa kata apa pulak.

Majlis Hari Anugerah Cemerlang

Tepat jam 2.30 petang, majlis pun bermula.

Pengacara mengalu-alukan hadirin. Antara yang berucap ialah Pengerusi PIBG SKTT, En. Khamis b. Bakar dan Guru Besar SKTT, En. Mohammad bin Ab Hamid. Manakala perasmian majlis disempurnakan oleh Pengurus Felda Teloi Timur, En. Abd. Rahani bin Bahari.

Majlis yang dikendalikan pengacara berpengalaman iaitu Pn. Sanisah dan Pn. Nur Intan Sabrina telah berjalan dengan lancarnya. Selain acara penyampaian hadiah, majlis turut diselang seli dengan persembahan dari murid tahun dua, tiga dan empat.

pengacara majlis

tetamu-tetamu kehormat

Guru Besar menyampaikan ucapan aluan

En. Abdul Rahani berucap merasmikan majlis

sebahagian daripada penerima-penerima hadiah

salah satu persembahan murid

Syabas kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini. Tahniah kepada murid-murid yang mendapat anugerah pada hari ini. Semoga anugerah yang diperolehi pada hari ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar seterusnya dapat mengharumkan nama sekolah pada masa-masa akan datang.

Hari Anugerah Cemerlang: Persiapan akhir

Beberapa jam sebelum majlis bermula.

Persiapan hadiah

Persiapan siaraya

Persiapan dewan

Persiapan pentas

Segalanya beres. Menunggu masanya saja.

Rabu, Julai 15, 2009

Hari Anugerah Cemerlang: Raptai

Gambar- gambar sekitar 'rehearsal' Hari Anugerah Cemerlang.


Penerima-penerima hadiah


Berbaris menunggu giliran naik ke pentas dengan diawasi En. Pisol.


Barisan pengacara yang mantop.


Salah satu persembahan pada hari tersebut.


Berbincang untuk penambahbaikan


Cara-cara menerima yang betul.


Dalam dok kalut pun, P&P jalan juga!


Penyeri majlis.

Yang lemah diperbaiki. Yang elok diperindahkan. Semoga Hari Anugerah Cemerlang 2009 menjadi majlis yang gilang gemilang.

:: Ustad A melaporkan dari Dewan al-Farabi.

Orang Melayu dan anjing

Pada suatu petang, seekor anjing baik punya 'landing' depan pagar rumah Ustad A. "Abah, anjing tidur depan rumah kita!" Kata anak-anak.

"Anjing tu kenal tuan rumah ni. Dia rasa selamat, sebab tu dia duduk kat depan rumah kita." Ustad A membalas secara bergurau. "Kalau rumah orang lain, belum tentu dia selamat." Bukan menuduh tetapi merujuk kepada sikap kebanyakan orang Melayu mengenai anjing.

Dari pengalaman dan pemerhatian, orang Melayu ada cara tersendiri melayan anjing. Dalam keadaan sebegini, agaknya bukan saja kena halau, mungkin batu atau kayu bakal hinggap di kepalanya. Padahal anjing tu hanya tumpang tidur saja. Tidak seperti bangsa lain, anjing dianggap haiwan yang boleh dibuat kawan. Malah dalam sejarah Mesir Kuno, anjing dianggap haiwan yang setia kepada tuannya sebaliknya kucing dianggap pengkhianat dan perosak. Namun dalam Islam terdapat larangan memelihara anjing.

Sungguhpun begitu larangan memelihara anjing bukanlah bermakna Islam menyuruh umatnya membenci haiwan tersebut. Kita biasa mendengar kisah seorang pengembara yang memberi anjing minuman. Kisah yang menjadi rujukan kepada adab manusia dengan makhluk tuhan yang lain. Ironinya, anjing yang tumpang lalu hadapan rumah pun dibaling kayu.

Suatu sikap yang boleh dikatakan diwarisi dari generasi terdahulu. Bila ditanya mengapa sampai begitu sekali sikap kita dengan anjing. Jawapnya, "najis mughallazah". Kalau dah najis, basuh sajalah. Takkan sampai nak seksa dia pula.

Bukan itu saja. Ada lagi label tambahan. Anjing binatang hina. Lambang kejahatan. Kawan syaitan. Bila dia menyalak, tandanya dia nampak syaitan. Nah! Sampai begitu sekali. Dari mana mereka dapat cerita ini, lalu menjadi justifikasi menghalalkan permusuhan manusia dengan anjing.

Berkaitan dengan najis mughallazah pun, ulama' berselisih pendapat. Sama ada seluruh tubuhnya bernajis atau bahagian-bahagian tertentu sahaja. Ulama mazhab Maliki berpendapat semua haiwan hidup adalah suci termasuk anjing dan babi. Manakala ulama Hanafiah sependapat dengan ulama Maliki kecuali air liur anjing yang dihukum sebagai najis. Pendapat ulama' Hanafiah dalam kes kenajisan air liur anjing, tetapi tidak bahagian tubuh yang lainnya dilihat lebih hampir kepada nas. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud, "apabila anjing menjilat benjana salah seorang daripada kamu, hendaklah ditumpah airnya dan bejana itu dicuci sebanyak tujuh kali" (hadis Muslim). Dalam hadis lain, Nabi Muhammadsallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud, "membersihkan bejana salah seorang kamu bila dijilat anjing ialah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, permulaannya dengan tanah." (riwayat Ahmad dan Muslim).

Dalam hal ini, Ustad A lebih berkenan kepada pendapat hanya air liur anjing sahaja yang dikira sebagai najis mughallazah. Hanya itu yang dinyatakan Baginda sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis. Sedang bahagian tubuhnya yang lain dihukum hanya berdasarkan qias daripada hadis tersebut. Selain itu, ulama' juga bersetuju tubuh anjing yang kering dan tidak meninggalkan bekas, maka tempat yang disentuhnya tidak perlu di'samak'.

Generasi baru perlu dididik untuk membuat penilaian semula terhadap haiwan ini. Bukan untuk dimuliakan atau diberi kasih sayang secara berlebihan. Jauh sekali untuk dijadikan haiwan peliharaan. Tapi untuk diberi hak dan kebebasan, selagi masih dalam kawalan.

Mungkin guru-guru dan ustaz-ustazah boleh mulakan dengan kisah Ashabul Kahfi.

Isnin, Julai 13, 2009

Larian Kedah Sejahtera 2009

Sempena Karnival Kedah Sejahtera yang bakal berlangsung dari 22hb. Julai hingga 28hb. Julai ini di Bandar Laguna Merbok, pihak penganjur turut mengadakan acara Larian Kedah Sejahtera yang dijadualkan pada 18hb. Julai(Sabtu) bertempat di Taman Jubli Perak, Sungai Petani.

Tentatif program adalah seperti berikut:

6.30 pagi : Pendaftaran Peserta (di Taman Jubli Perak, Sungai Petani, Kedah)

8.30 pagi : Pelepasan Peserta oleh YB Hj Abdullah bin Jusoh (Exco IT, Komunikasi dan Usahawan)

(Larian bermula dari Taman Jubli Perak, Sungai Petani, Kedah)

9.45 pagi : Kesemua peserta tiba di garisan penamat.

10.00 pagi : Majlis Penyampaian Hadiah (Ketibaan Tetamu VIP dan Jemputan)

- Ucapan aluan pengerusi majlis.

10.10 pagi : Ucapan YDP Abdul Aziz Abdul Ghani SDK, AMK, BCK (Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sungai Petani)

10.20 pagi : Ucapan YB Dr Hamdan bin Khaleb (Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Kedah)

10.40 pagi : Penyampaian Hadiah
- Hadiah kategori 18 tahun ke bawah Lelaki (tempat pertama hingga tempat ke dua puluh)
- Hadiah kategori 18 tahun ke bawah Perempuan (tempat pertama hingga tempat ke dua puluh)
- Hadiah kategori 19 tahun ke atas Lelaki (tempat pertama hingga tempat ke dua puluh)
- Hadiah kategori 19 tahun ke atas Perempuan (tempat pertama hingga tempat ke dua puluh)

11.30 pagi : Selesai penyampaian hadiah dan majlis tamat.

Ahad, Julai 12, 2009

Gempaq



Gempaq pagi Ahad.

Apa yang sedang diperhatikan oleh budak-budak tu???

Kalau nak tau, kenalah tanya depa.

Ustad A pun tak tau.

Jumaat, Julai 10, 2009

Setuju atau tidak?

Bagi menyatakan pendapat anda mengenai keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI, pihak moderator blog telah menyediakan papan undian di sebelah. Sila buat pilihan sama ada:- "Ya", "Tidak" atau "Kurang Pasti".

Cikgu-cikgu juga dicadangkan mengundi di laman blog mantan Perdana Menteri. Untuk berbuat demikian, sila klik di sini.

Doa kami

Berita mutakhir mengenai Ustazah Zunaidah, kini ditempatkan di wad Kenanga 9, aras 7 Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Petang semalam(Khamis), beliau telah dimasukkan ke bilik pembedahan untuk rawatan lanjut(payah nak cakap la kat sini!). Didoakan supaya segera sembuh dan kembali bertugas.

Pn. Mazlina yang kini sarat menanti kehadiran orang baru pula dikhabarkan sudah dibenarkan kembali ke rumah.

Semoga sentiasa dalam perlindungan Allah.

S/U

Rabu, Julai 08, 2009

Sains, Matematik dalam bahasa Melayu mulai 2012

PUTRAJAYA 8 Julai - Matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan akan diajar dalam bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan Kabinet itu berkata, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua matapelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan juga memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.

Katanya, pelaksanaan bermula secara bertahap iaitu bagi tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat.

Perubahan dasar itu bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi.

- Utusan

:: Pada tahun 2012, murid Tahun 1 tahun ini(2009) akan berada di Tahun 4. Secara tak langsung mereka adalah kelompok pertama pemansuhan PPSMI.

Banyak makna kata

Dari blog Ustaz Ahmad Jailani.

Seorang guru Bahasa Malaysia mempunyai masalah dengan isterinya lalu berkata kepada isterinya, “Kalau you tak kata sayang kat I sampai subuh esok , jatuh talaq”. Beliau berkata demikian dengan nada mengugut isterinya.

Si isteri tetap enggan mengungkap kata sayang pada suaminya sehingga hari esok. (Si isteri memang berharap agar talaq jatuh). Tetapi yang agak aneh, walaupun pada malam itu, si isteri enggan kata sayang pada suaminya, mereka tetap melakukan hubungan kelamin.

Beberapa lama kemudian, si isteri memfailkan permohonan untuk mengesahkan perceraian secara taaliq talaq (perceraian yang berlaku secara perlanggaran syarat yang dibuat suami)

Hakim bertanya kepada suami, “Benarkah kamu bertaaliq seperti itu?” Si suami jawab, “Ya”. Hakim bertanya lagi “Benarkah isteri kamu tak kata sayang pada kamu pada malam tu sehingga subuh esoknya?

Si suami menjawab, “Yang Arif, walaupun isteri saya tak kata sayang pada saya melalui mulut beliau, tetapi Yang Arif, dalam Bahasa Malaysia “kata” mempunyai banyak “kata”. Ada kata nama, ada kata sifat dan ada kata perbuatan. Walaupun dia tak kata sayang pada saya melalui mulut, tetapi dia ada kata sayang melalui perbuatan dia yang melayan saya pada malam tu….”

Hehehe geliga otak si suami (walaupun cerita ini benar, tetapi terdapat fakta yang telah diubah untuk mengelak peribadi sebenar dikenali)

Apa komen Mr. Choon dan Abang Halim? Ustad A cuma tahu bahasa arab kampung saja.

Isnin, Julai 06, 2009

Depa tak mai pun.

Khabarnya teman-teman dari SK Pulai akan datang melawat SKTT. Ramai juga, 40 orang. Kami di sekolah pun buatlah persiapan ala kadar termasuklah bihun goreng untuk menjamu tetamu yang datang.

Ustad A pun bukan main teruja lagi. Masuk kelas awal, keluar pun awal juga. Manalah tahu, kut-kut tetamu nak tengok. Kelas tak ada budak pun Ustad A masuk juga. Nak tunjuk rajinnya.

Tunggu punya tunggu, yang dinanti tak kunjung tiba. Tahu-tahu saja, cikgu-cikgu dapat sorang sebungkus bihun.

Bihun apa ni? Tanya Ustad A. Bihun pelawatlah!!!

Ustad A rasa depa ni tak jumpa jalan kut.

Ahad, Julai 05, 2009

Lupa punya hal

Seorang ulama tasawwuf pernah menyatakan sifat lupa ada yang mazmumah (tercela) dan juga ada yang mahmudah (terpuji). Sebagaimana sifat marah juga terbahagi kepada dua kategori tersebut. “Marah” menjadi terpuji apabila kita marah kepada maksiat. Tetapi “marah” juga menjadi tercela apabila kita marah-marah tanpa sebab.

“Lupa” adalah tercela jika ia melibatkan lupa buat kerja, lupa hafalan Quran, lupa maklumat dan sebagainya. Tetapi, “lupa” adalah terpuji jika kita dapat melupakan perkara keduniaan ketika kita solat. Solat mengajar kita untuk memperkuatkan “lupa” kepada perkara yang tidak perlu, mempertingkatkan konsentrasi dan menajamkan fokus serta kekebalan perasaan daripada ingatan yang tidak perlu.

Sepatutnya, dalam hidup yang penuh dengan pelbagai ujian ini, kita mempunyai kekuatan untuk lupa perkara yang sering mengganggu benak pemikiran kita. Apabila berada di rumah, lupakanlah segala kerja di pejabat. Jika berada di pejabat, lupakanlah segala pertengkaran dengan suami atau isteri sekejap tadi di rumah.

Segala kesilapan lampau yang sudah berlalu, usah dikenang-kenang. Lupakannya sebaik mungkin, lemparkan sejarah hitam lampau sejauh-jauhnya daripada kita. Kita adalah manusia, yang pasti ada dosa, noda, kesilapan dan kekurangan. Kita hanyalah mentimun. Melanggar pun sakit, dilanggar pun sakit.

Setiap perkara yang dijadikan Allah SWT tidak sia-sia termasuk sifat lupa. Perbetulkan penggunaan “lupa” yang dicipta oleh Allah SWT untuk manfaat para hamba-Nya. Tanpa lupa, kita sukar untuk bertahan di dunia ini. Tanpa lupa, kita akan sentiasa terkenang kekasih lama, tanpa lupa, kita akan terbayang-bayang celoteh anak kecil kita yang telah terkorban akibat kecuaian kita, tanpa lupa, kita akan berdendam dengan ayah ibu yang pernah memukul kita dengan melampau pada zaman kita kecil, tanpa lupa, kita akan bermusuhan dengan rakan yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita, tanpa lupa, kita akan dihantui oleh noda dan dosa dahsyat yang pernah kita lakukan.

::Ustad A selalu lupa masuk kelas.

PETUA

Waktu sembahyang Subuh disunatkan kita bertafakur (sujud sekurang-kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelakkan daripada sakit pening /migrain. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter(ml) ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud, maka darah akan mengalir ke ruang tersebut.

Kisah Nasrettin Hoca

Kalau Tanah Arab terkenal dengan Juha, seorang lelaki yang bersifat gila-gila(bukan gila!), di Turki terkenal dengan kisah Nasrettin Hoca yang perwatakannya hampir sama dengan Juha. Malah ada yang turut menggelarnya si Juha Turki.

Di tengah bandar kecil Aksehir yang diwartakan sebagai tempat kelahiran Hoca terdapat satu replika seorang lelaki yang menunggang keldai secara terbalik. Itulah Nasrettin Hoca yang apabila ditanya tindakannya dijawab selamba, bukan dia yang menyongsang, tapi keldainya yang salah arah.


Pernah suatu ketika Nasrettin Hoca berdiri di hadapan penduduk pekan Aksehir untuk berucap.

Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau bertanya kepada orang ramai.

Tak tahu!” jawab mereka.

Huh, saya tidak mahu bercakap dengan orang sejahil kamu!”, kata Nasrettin Hoca sambil berlalu pergi.

Penduduk Aksehir terkejut. Oleh kerana mereka begitu ingin tahu apa yang mahu diperkatakan oleh Nasrettin Hoca, mereka menjemputnya sekali lagi pada keesokan harinya.

Nasrettin Hoca naik ke pentas lalu berkata, “Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau sekali lagi bertanya soalan yang sama.

Tahu, tahu!” penduduk pekan Aksehir mengangguk-angguk sambil tersenyum. Mereka tidak mahu menerima nasib yang sama seperti semalam.

Oh, kalau kamu sudah tahu, tidak perlulah lagi saya berucap!” kata Nasrettin Hoca. Beliau terus beredar pergi.

Sekali lagi orang ramai terkejut. Namun, mereka belum berputus asa. Buat kali yang seterusnya, mereka menjemput beliau berucap semula keesokan harinya.

Nasrettin Hoca bertanya, “tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan hari ini?”.
Beliau memulakan ucapannya.

Tahu, tahu!” kata sebahagian hadirin.

Tak tahu, tak tahu!” kata sebahagian yang lain.

Oh, kalau begitu, mereka yang tahu beritahulah mereka yang tidak tahu!” kata Nasrettin Hoca lagi. Beliau bangun dan bingkas beredar.Manusia yang mahu bercakap dengan Nasrettin Hoca pasti akhirnya kebingungan, dari era Seljuk sampailah ke hari ini.

Ada pelbagai teori tentang siapakah sebenarnya Nasrettin Hoca tetapi bagi saya kebanyakan maklumat lebih kepada lagenda yang sukar untuk dikenal pasti kesahihannya. Apa-apa pun, tahun 1996 telah pun diisytiharkan sebagai Tahun Nasrettin Hoca oleh UNESCO.

Kita sambung lagi cerita Si Hoca ni.

Pernah suatu ketika, semasa Nasrettin Hoca masuk ke sebuah kampung, dia telah dikerumuni oleh sekumpulan pemuda yang datang membawa kitab.

Kamu nak apa?” tanyanya kepada pemuda-pemuda itu.

Kami mahu mengaji kitab, mahu menadah ilmu darimu wahai Tuan Guru,” jawab mereka.

Macam mana kamu boleh tahu yang aku ini seorang Tuan Guru?” tanya Nasrettin Hoca kepada pemuda-pemuda yang mengerumuninya itu.

Kami percaya kamu adalah seorang Tuan Guru sebab serban kamu yang besar dan hebat,” kata mereka.

Oh, kamu anggap aku ini guru kamu sebab serban aku ya. Baiklah. Nah, ambil ini dan belajarlah dari keldaiku!”, kata Nasrettin Hoca sambil menanggalkan serbannya lalu dipakaikan di kepala keldainya.

Hari ini, Tuan Guru kamu adalah keldaiku. Keldai berserban ini”, kata Nasrettin Hoca. Pemuda itu terlopong semuanya.

Suatu ketika yang lain , Nasrettin Hoca sedang duduk di sungai memasang bubu ikan. Tiba-tiba lalu seorang lelaki dan beliau cuba meramahkan diri, bertanya kepada Nasrettin Hoca, “Berapa sudah yang terkena?”

Nasrettin Hoca menjawab, “kamu adalah yang kesembilan!”

Pernah suatu ketika, Nasrettin Hoca hadir ke sebuah majlis jamuan makan. Beliau hadir dengan hanya berpakaian biasa dan ala kadar. Namun sambutan penganjur terhadapnya hampir tiada. Tidak ada sesiapa pun yang peduli akan kehadiran Nasrettin Hoca. Lalu beliau pulang ke rumah untuk mengambil baju bulu mewah yang cantik. Apabila Nasrettin Hoca tiba di majlis itu dengan penuh gaya, pihak penganjur kelam kabut menyambut kehadiran Nasrettin Hoca dan melayannya seperti seorang VIP.

Apabila makanan dan minuman dihidangkan, Nasrettin Hoca mengambil sudu lalu mencurahkan sup dan minuman yang dihidangkan kepadanya itu ke baju bulu yang dipakai.

Makanlah wahai baju, jangan segan-segan. Ternyata engkaulah tetamu kehormat hari ini, yang diraikan. Bukannya aku,” kata Nasrettin Hoca. Kesemua hadirin termenung.

Ada banyak lagi kisah lucu yang dinisbahkan kepada Nasrettin Hoca. Cerita-ceritanya bukan sekadar lucu biasa. Dalam lucu itu ada mesej yang mahu disampaikan.

Kisah-kisah rakyat seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, malah himpunan kisah Pakcik Kordi, kesemuanya menggambarkan kehalusan budaya generasi ibu bapa kita dalam mengungkapkan satu-satu mesej dan teladan. Malangnya semakin hari cerita-cerita itu semakin dilipakan. Budak-budak kita pun dah tak kenal watak-watak yang satu ketika dulu pernah popular di kalangan masyarakat.

Cerita itu mengundang ketawa. Tetapi selepas seketika, terasa bodoh kerana yang ditertawakan adalah diri sendiri.


Rujukan Ustad A: http://saifulislam.com (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil merupakan bekas pelajar Universiti Mu'tah, Jordan. Pernah bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara)

Rabu, Julai 01, 2009

Handphone saja mahal

Boleh dikatakan hampir setiap orang di Malaysia memiliki telefon bimbit. Memiliki telefon bimbit dewasa ini sudah menjadi satu keperluan khususnya di kawasan-kawasan yang sering mengalami masalah kabel TM dicuri orang. Dari jenis yang paling murah hinggalah jenis paling mahal ada pemiliknya. Berbagai jenis dan bentuk ada di pasaran. Kecil, besar, panjang, pendek, PDA, Blackberry dan entah apa-apa lagi.

Selera pembeli pula pelbagai. Ada rakan-rakan yang begitu bernafsu bila melihat jenis terbaru di pasaran. Kalau boleh mahu mendahului kekawan.

Namun apa sebenarnya tarikan yang menyebabkan keinginan memiliki telefon bimbit. Kalau sekadar mahu menelefon memadailah dengan Nokia model 1200 yang boleh dibeli dengan harga RM98.00


Tapi dengan perkembangan pesat ICT, internet juga boleh dilayari dengan telefon bimbit jenis-jenis tertentu yang pastinya lebih mahal dari Nokia 1200. Memang patutlah ada yang sukakan telefon jenis mahal untuk mendapatkan lebih banyak manfaat.

Cuma yang tak sedapnya, ada orang yang membeli telefon bimbit mahal-mahal hanya untuk diletakkan dipinggang atau dalam tas tangan. Sesekali dikeluarkan untuk dipertontonkan kepada kawan-kawan. Padahal telefonnya selalu saja off.

Telefon bukan main canggih. Tapi bila orang lain nak telefon masuk tak boleh. Itu belum lagi prepaidnya dah berhari-hari habis dan tak boleh buat panggilan keluar. Lagi hampeh. Apa maknanya ada telefon bimbit? Atau alang-alang mahal harganya, baik dijadikan perhiasan saja.

Kalau macam tu, simpan saja kat kedai lagi baik.