Kenali Kami

Foto saya
Kuala Ketil, Kedah, Malaysia
Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Teloi Timur, 09300, Kuala Ketil Kedah.

EXCO BKGSSKTT 2011

EXCO BKGSSKTT 2011

Pengerusi
: Mohammad Pisol bin Aziz

Naib Pengerusi : Za'im bin Omar

Setiausaha : Azrin bin Abdullah

Penolong Setiausaha : Mohd Nabil bin Othman

Bendahari : Sharifudin bin Ismail

AJK :

Yahaya bin Ismail
Ahmad Rashidi bin Jalil
Roslan bin Md. Ali
Nirmala a/p Sivanadam
Zunaidah binti Husain
Syafinah binti Mohd Saad
Azizah binti Mansor


Pemeriksa Kira-kira

Rohani binti Mat Saleh

Fauziah binti Saad

Sabtu, Jun 27, 2009

Hadis Palsu berkaitan Rejab dan Syaaban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Mendengar

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).

Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Gambar hiasan

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Rabu, Jun 24, 2009

PBSM: Latihan mendirikan khemah

Aktiviti Ko Kurikulum
Unit Beruniform
24hb. Jun 2009 (Rabu)
1.20 ptg - 2.20 ptg.

Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)

Aktiviti mendirikan khemah
Kehadiran 99% dari ahli Thn 4 dan Thn 5.
Ahli Thn. 6 dikecualikan kerana menghadiri kelas tambahan UPSR.




Tekun dan penuh komitmen


ceria selepas berjaya menyempurnakan misi




sukanya depa!!!

::Bukti Cikgu-cikgu PBSM buat kerja. he... he... he...

Khamis, Jun 11, 2009

Cerita geram di Lata Bayu

Pagi tadi Ustad A bawa family makan-makan angin, picnic-picnic kat air terjun Lata Bayu. Cuti dah nak habis, anak-anak pun merungut asyik dok kat rumah saja. Plan asal nak ke Melaka, tapi disebabkan ada musibah menimpa kami sekeluarga, terpaksalah ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Seronok juga tengok anak-anak dan sepupu depa mandi manda, berenang (sebenarnya merangkak dalam air) dan bergelak ketawa. Ustad A pula sempat lagi terlelap. Maklumlah orang bandar, ceh. Sesekali berada di bawah teduhan pokok dan menikmati kedamaian hutan dengan deruan air yang membelah batu, ohhh tersa syahdunya hingga kelopak mata terasa perlahan-lahan tertutup, tertutup dan zzzz.

Agak-agak dah puas berada di situ, tibalah masanya untuk pulang. Sampai saja kat kereta, Ustad A yang tadi tenang berubah menjadi bengang. Entah makcik mana pula yang letak keretanya belakang Avanza Ustad A. Apa lagi, Ustad A terus capai kamera dan snapkan dia. Kalau amarahku tidak hilang, harus gambar keretanya terpampang dalam akhbar Sinar Harian esok.

Sedang Ustad A tercari-cari idea macam mana nak keluarkan kereta, si pemilik kereta belakang pun datang dan dengan selambanya masuk dalam kereta dan start enjinnya. Seorang perempuan. Sorilah, bukan nak perlecehkan kaum wanita. Orang lelaki pun berlambak juga buat kerja macam ni. Ustad A marah bukan pada jantinanya tapi pada sikapnya. 

Kepada teman-teman Ustad A, janganlah buat perangai macam ni. Tak baik menyusahkan orang. Perempuan tu pula langsung tak minta maaf. Geram juga. Tapi mengingatkan dia dah alihkan keretanya serta terpandang ada buku kerja di bahagian tempat duduk belakang yang berkemungkinan dia juga seorang guru, tak jadilah Ustad A kirimkan gambar kereta dia dalam Sinar Harian. Untuk tatapan teman-teman, gambarnya ada di bawah.



Ada sesiapa pernah tengok kereta ni?

Isnin, Jun 08, 2009

Berkat itu milik Allah

"Jemput ke rumah malam esok. Buat kenduri sikit. Nak minta Ustaz tolong bacakan doa selamat untuk kami sekeluarga. Mudah-mudahan boleh kami tumpang berkat Ustaz."

Lebih kurang begitulah bunyinya. Tak pasti sama ada ia suatu gurauan atau kefahaman yang sudah sebati menjadi iktiqad. Kalau setakat gurauan, moga diampunkan Allah. Tapi kalau dah jadi iktiqad, buruk padahnya.

Keberkatan itu milik Allah dan Allah mengkhususkan kepada siapa dan apa yang dikehendakinya. Tiada jalan bagi insan mengetahui kepada siapa dan apa Allah mengkhususkan keberkatan tersebut melainkan melalui petunjuk dalil yang sahih lagi jelas.

Justeru Ahli Sunnah wal Jamaah beriktiqad tidak boleh memohon berkat daripada individu, benda, masa atau tempat melainkan dinyatakan dengan dalil yang sahih.

Mengenai keberkatan dari barang peninggalan Baginda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seperti pedang, pakaian dan sebagainya, tidak dinafikan generasi as-Salaf as-Shalih ada melakukan selepas kewafatan Baginda.

Walaubagaimanapun dengan peredaran masa dan zaman, tiada siapa yang dapat membuktikan secara meyakinkan bahawa barangan yang didakwa milik Nabi itu sebenarnya milik Nabi. Justeru jalan yang terbaik ialah menahan diri daripada ber'tabaruk' dengan apa yang didakwa sebagai peninggalan Rasulullah.

::Ustad A tak pandai baca doa panjang-panjang.

Ahad, Jun 07, 2009

Merokoklah kamu kalau tak malu

Di sebuah warung tepi jalan, lima orang pemuda sedang berbual sambil pekena teh tarik dan roti canai plus telur. Hanya mereka berlima. Sesekali pecah derai tawa menandakan ada perkara yang melucukan.

Datang seorang lelaki mengisi tempat bersebelahan dengan lima pemuda tadi. Sambil meletakkan kaca mata hitamnya di atas meja dia memesan menu. Kehadiran lelaki itu tidak pula menghilangkan tumpuan lima pemuda tadi untuk meneruskan perbualan mereka.

Tiba-tiba mereka terhidu sesuatu yang sangat dibenci. Kali ini perbualan mereka terganggu. Jelas hidung mereka sangat sensitif dengan bau ini. Asap rokok. Mereka berpandangan sesama sendiri selepas menyedari asap rokok tersebut datang dari meja sebelah.

"Sorang saja." Tanya salah seorang dari mereka.

Lelaki itu sekadar mengangkat kening.

"Abang tak malu ka, sorang-sorang hisap rokok kat sini?" Tanya lagi. Berani. Mana tidaknya, tiga daripada mereka, masyaAllah, badan berketul-ketul. Si lelaki tu pulak kurus melidi. Mungkin kesan kuatnya merokok.



"Hah! Nak malu apa? Aku bukan buat benda salah." Jawab lelaki itu dengan suara yang agak tinggi.

"Merokok itu salah bang. Ikut fatwa, hukumnya haram." Balas pula yang lain.

"Tak payah tunjuk pandai. Ustaz-ustaz pun ramai yang hisap rokok. Aku dah tanya. Depa kata makruh, tak berdosa." Kali ini makin tinggi suara dia. Siap terbeliak biji mata.

"Tapi, asap rokok boleh membahayakan kesihatan orang lain. Membahayakan orang lain sama macam mencederakan atau cubaan membunuh atau membunuh. Tak berdosa lagi? Kalau ustaz pun cuba membunuh, berdosa jugalah."

"Alah, kalau nak sakit ka, nak mati ka, itu depa punya hal la. Dah tengok orang hisap rokok, pi la duduk jauh-jauh." Katanya sambil berdiri, memanggil tuan punya warung, bayar dan terus blah.

Sambil memerhatikan lelaki tadi berlalu, seorang daripada mereka bersuara, "Orang merokok ni rata-rata sama saja perangai depa. Angkuh, sombong, tidak pedulikan orang lain, tak ada rasa malu dan pentingkan diri sendiri. Ada sepotong hadis Nabi yang bermaksud: 'jika engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu'. Malangnya lagi kalau USTAZ-USTAZ PUN TAK MALU JUGA ."

Setakat itu, ke lima-lima mereka pun bangun dan beredar membawa haluan masing-masing.


::Ihsan dari laman blog Azridul Menulis he.. he..

Jenayah Merokok

Merokok membahayakan kesihatan. Statement yang memang dalam pengetahuan semua orang. Ia diakui malah syarikat pengeluar rokok turut meletakkan kenyataan ini di kotak rokok keluaran mereka. Satu-satunya syarikat yang memberi sendiri label negatif kepada barangan keluaran mereka. Bayangkan kalau ada syarikat yang mengeluarkan cokelat misalnya, lalu ditulis pada kertas pembalutnya 'makan coklat ini membahayakan kesihatan'. Agaknya adakah yang akan membeli coklat itu.

Tetapi tidak bagi rokok. Walaupun diingatkan tentang bahayanya dengan bermacam cara, langsung tidak dihirau penggunanya. Susah sangatkah nak tinggalkan tabiat tu. Atau sebenarnya tiada usaha langsung ke arah itu. Seorang teman saya menyalahkan penjualan rokok di pasaran menyebabkan beliau merokok. "Kalau rokok tak dijual, tak ada orang yang membeli", katanya. "Kalau setakat fatwa haram saja, tak jadi. Kena haramkan jual beli rokok. Baru berhasil." Begitulah hujahnya. Kekallah beliau merokok bersama-sama dengan orang yang merokok.

Saya menggelengkan kepala. Kalau macam tu, arak pun mudah diperolehi. Lihat saja di pasaraya utama di negeri ini atau di daerah ini. Tetapi orang kita tidak mendekatinya (kecuali segelintir yang hilang pedoman beragama) kerana takutkan hukum haramnya.

Ertinya, ia berbalik kepada soal hati atau lebih tepatnya IMAN.

Seorang perokok apabila ia merokok, bukan sekadar membahayakan dirinya sahaja. Tetapi ia juga menganggu ketenteraman, menimbulkan suasana tidak selesa serta membahayakan orang-orang di sekeliling mereka. Sama ada ia berpegang dengan hukum makruh atau haramnya merokok, menyakiti atau mengganggu orang lain tetap haram di sisi agama. Dosa menzalimi orang lain lebih berat dari dosa menzalimi diri sendiri. Malangnya tidak ramai yang ambil kisah akan hal ini termasuklah ustaz-ustaz yang merokok.

Islam menjamin kesejahteraan bukan sahaja kepada umatnya malah manusia keseluruhannya sesuai dengan kalimah salam yang bermaksud aman, sejahtera dan selamat. Satu hal yang perlu diberi perhatian oleh para pejuang parti Islam, mendirikan negara Islam bukan sekadar melaksanakan hukum hudud sahaja. Lebih penting lagi, pejuang Islam dan negara Islam menjamin kesejahteraan rakyatnya. Bagaimana seseorang boleh mengaku dirinya pejuang Islam sedangkan asap rokoknya mengancam orang lain.

Kerana menzalimi orang lain juga, seorang perokok telah hilang sifat waraknya. Justeru, kepada ustaz-ustaz dan tuan-tuan guru (dengan izin) yang masih belum meninggalkan tabiat buruk ini, fikir-fikirkanlah. Saya akui mereka ini golongan berilmu yang memahami hukum-hakam merokok dan kekhilafannya. Namun mendatangkan bencana untuk orang lain pun, masih mahu berkhilaf lagikah?

Bicara saya bukan mengenai hukum merokok. Bicara saya tentang jenayah merokok.

Nak merokok juga? Masuk bilik, tutup pintu dan tingkap. Merokoklah sorang-sorang. Merokoklah puas-puas. JANGAN GANGGU ORANG LAIN!!!

Ihsan dari laman blog Azridul Menulis he.. he..