Kenali Kami

Foto saya
Kuala Ketil, Kedah, Malaysia
Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Teloi Timur, 09300, Kuala Ketil Kedah.

EXCO BKGSSKTT 2011

EXCO BKGSSKTT 2011

Pengerusi
: Mohammad Pisol bin Aziz

Naib Pengerusi : Za'im bin Omar

Setiausaha : Azrin bin Abdullah

Penolong Setiausaha : Mohd Nabil bin Othman

Bendahari : Sharifudin bin Ismail

AJK :

Yahaya bin Ismail
Ahmad Rashidi bin Jalil
Roslan bin Md. Ali
Nirmala a/p Sivanadam
Zunaidah binti Husain
Syafinah binti Mohd Saad
Azizah binti Mansor


Pemeriksa Kira-kira

Rohani binti Mat Saleh

Fauziah binti Saad

Khamis, April 16, 2009

Mazhab Syafie atau Mazhab Masyarakat?

Kisah berlaku di suatu tempat. Nama dan tempat berkenaan terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan. Harap maklum.
__________________________________________________________________________

"Assalamua'laikum warahmatullah."
"Assalamua'laikum warahmatullah
." Ustaz Zarin baru menyelesaikan solat sunat ba'diah Isyaknya. Seketika Ustaz Zarin mengisi masanya dengan berzikir. Mulutnya terkumat-kamit melafazkan zikir tanpa mengeraskan suara seperti kelazimannya. Kerana zikirnya yang perlahan juga dia sering disisih dari menjadi imam solat jamaah biarpun bacaannya mengatasi imam-imam lain. Namun Ustaz Zarin tetap kejap dengan pendiriannya yang didasari kepada firman Allah dalam surah al- A'raf ayat 205 yang bermaksud, "dan sebutlah Tuhanmu di dalam dirimu dengan cara merendahkan diri dan takut kepadaNya tanpa mengeraskan suara di waktu pagi dan petang ....."

"Ustaz, maaflah saya nak tegur sikit." Tiba-tiba Ustaz Zarin perasan yang seseorang berada di sebelahnya. "Ooo, tuan haji rupanya." Begitulah Ustaz Zarin berbahasa dengan Haji Sahar iaitu Penasihat surau al-Huda yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai Imam surau. "Ada apa tu?" Tanya Ustaz Zarin.

"Tadi masa ustaz jadi imam solat isyak, ustaz tak baca bismillah dalam fatihah." Itu yang mahu ditegurnya.

"Saya bukan tak baca, saya cuma sirrkan atau perlahankan." Tegas Ustaz Zarin dalam kelembutan suaranya.

"Tak bolehlah macam tu. Kita ni bermazhab Syafie. Kena baca kuat bismillah kita." Tuan Imam memperkuatkan hujahnya dengan menyandarkan kepada mazhab Syafie.

Ustaz Zarin tersenyum. Beginikah tahap pemikiran seorang yang selama ini merasakan dirinya paling layak menjadi imam surau? Fikir Ustaz Zarin. Segera pula Ustaz Zarin beristighfar dalam hati. Dah dirasuk syaitankah aku ni? Dia menggelengkan kepala. Menyesal. Senyumannya masih tak lekang dari bibir.

"Tuan Haji." Ustaz Zarin mula bersuara. Lembut. "Tuan Haji kata, kita mazhab Syafie. Tapi Tuan Haji memulakan solat dengan lafaz ushalli. Kitab Imam Syafie yang mana kata sebelum solat kena lafaz ushalli? Setahu saya dalam kitab al-Umm tak pula disebut tentang lafaz ushalli."

Ustaz Zarin masih mahu meneruskan lagi. "Kalau ikut Imam Syafie, zikir selepas solat hendaklah diperlahankan. Tapi tuan haji malah menyaringkan bacaan zikir atau berwirid dengan suara kuat. Tuan Haji pun tak ikut Imam Syafie."

"Betulkah"? Haji Sahar tidak berpuas hati. Terbeliak matanya. Egonya tersentuh.

Ustaz Zarin meneruskan hujahnya lagi. "Dalam ulasannya ke atas hadis Ibn Abbas, Imam Syafie berkata, pada pendapatku imam dan makmum hendaklah berzikir selepas menunaikan solat. Mereka hendaklah memperlahankan bacaan zikir itu. Melainkan jika imam mahu mengajar (bacaan-bacaan itu kepada makmum). Ketika itu bacaan zikir dikuatkan. Sehinggalah dilihat (oleh imam itu makmum mampu mempelajari zikir itu sepenuhnya). Selepas itu dia hendaklah memperlahankannya. Aku suka sekiranya imam menyebut nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti yang Ummu Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu atau duduk lebih lama di situ, tidak mengapa. Makmum boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi atau bersama imam, itu lebih aku sukai padanya." (As-Syafie, Mausu'ah al-Imam as-Syafi'e: al-Umm jil 1 ms 353).

Kali ini Haji Sahar terdiam. Lama Ustaz Zarin menunggu sehingga dia berasa tiada lagi bicara lalu bangun mahu meninggalkan surau. Tiba-tiba, "masyarakat kita dah buat macam ni. Lagi pun tak salahkan?" Lemah sekali suara tuan imam.

"Tadi suruh ikut mazhab Syafie. Sekarang mazhab apa pula? Mazhab masyarakat?? Ustaz Zarin menghabiskan ayatnya lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya bersambut, tapi muka Haji Sahar mencuka semacam.


Ihsan dari laman blog Azridul Menulis he... he...

Mematuhi Iradah Allah Yang Sebenarnya

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud "Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA"

Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya.

Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya.

Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit dari arah timur, bulan yang mengambang pada malam 15 setiap bulan kalender hijriah dan lain-lain berlaku dengan kehendak Allah.

Kehendak Allah juga manusia diciptakan untuk beribadah kepada-NYA, sedang manusia terlalu degil untuk menyempurnakannya. Ketika makhluk-makhluk lain tunduk dan patuh melaksanakan kehendak Allah, manusia begitu angkuh dan sombong menyisihinya.

Allah bersifat Iradah. Allah berkehendak supaya semua makhluk-NYA tunduk dan patuh kepada-NYA. Allah berkehendakkan makhluk-NYA yang bernama manusia melaksanakan perintah-NYA. Allah juga berkehendakkan makhluk-NYA yang bernama manusia tidak mereka-reka atau mencipta sesuatu ibadah tanpa izin-NYA.

"Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan (selain Allah) yang mensyariatkan untuk mereka urusan agama yang tidak diizinkan Allah?" (as-Syura: ayat21)

Itulah kehendak Allah yang bersifat Iradah. Begitulah sifat orang yang beriman dengan Iradah Allah.

:: Ustad A mengajar kelas 5 Word (kelas no.2 dari dua kelas)

Keromantikan Rasulullah

Kita selalu mendengar contoh kasih sayang Junjungan Besar kita Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam terhadap anak-anak kecil. Kali ini Ustad A nak berkongsi pula kisah cinta Rasulullah dengan isteri-isteri Baginda. Ustad A tau, cikgu-cikgu pun dah maklum sangat dengan cerita ini. Cuma sebagai tazkirah atau peringatan sahaja lah khususnya untuk diri sendiri.

Baginda Rasul walaupun usianya menjangkau 50-an masih kekal romantik mengalahkan pasangan-pasangan yang baru berkahwin. Dalam satu kisah diceritakan, suatu hari isteri-isteri Rasulullah berkumpul dan bertanyakan Baginda, "di antara kami, siapakah yang paling Tuan sayangi?" Rasulullah hanya tersenyum lalu berkata, "Aku akan beritahu kalian nanti."

Selepas itu para isteri Baginda diberi seorang sebentuk cincin dan diingatkan supaya tidak memberitahu isteri yang lain. Lalu pada satu hari isteri-isteri Baginda berkumpul lagi dan mengajukan soalan yang sama. Baginda menjawab, "yang paling Aku sayangi adalah yang kuberikan cincin kepadanya." Isteri-isteri Nabi tersenyum puas kerana menyangka hanya dirinya sahaja yang mendapat cincin.

Rasulullah juga kerap berpegangan tangan dengan isteri Baginda ketika berada dalam rumah. Dalam hal ini Rasulullah bersabda, "Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan, dosa-dosa akan keluar melalui celah-celah jari mereka."

Rasulullah juga sering menyapa isteri-isteriNya dengan panggilan yang sangat mesra. Ummul Mukminun Aisyah umpamanya dipanggil humaira' yang bermaksud pipi yang kemerah-merahan.

Demikian segelintir kisah cinta dan kemesraan Rasulullah terhadap isteri-isterinya. Apa tunggu lagi panggil isteri masing-masing, pegang tangan depa, insya Allah dosa-dosa akan keluar dari celah-celah jari. Isyyy, bukannya susah nak dapat pahala. Subhanallah walhamdulillah.

Jumaat, April 10, 2009

Mengharap Rahmat Tuhan


Mengharap Rahmat Tuhan
oleh: Ustad A


Perlahan dia membuka matanya. Rengek si kecil menghentikan mimpi indah semalam. Seketika dia beralih ke arah si kecil sebelum matanya tertancap tepat ke jarum jam. Memang masa tidak pernah menunggu manusia dan manusia pula seperti sengaja tidak mengendahkan kehadirannya. Lalu terkeluar ayat lazim "masa mencemburui kita". Subuh masih panjang, fikirnya. Sempat lagi kalau nak layan-layan kepala. Fikirannya melayang mengingati peristiwa semalam. Dia terkhilaf lagi.

Sudah berulang kali dia terjerumus ke dalam dosa itu. Sudah berkali-kali juga dia beristighfar menyesali keterlanjurannya. Dan pagi ini dia menyesal lagi. Sungguh-sungguh menyesal. Ahhh, sama seperti dulu. Buat kemudian menyesal kemudian ulang lagi. Dia dimarahi diri sendiri. Segalanya dilupakan. Lupa pada Allah yang sentiasa memandangnya. Lupa kepada malaikat yang mengawalnya di kiri dan kanan. Lupa pada pesan guru. Dan paling menyedihkan dia lupa siapa dirinya. Hilang malunya pada Allah, pada malaikat, pada makhluk-makhluk yang mendampinginya dan pada dirinya sendiri.

Dan pagi ini dia benar-benar malu. Malu pada Allah, pada malaikat, pada masyarakat yang selama ini sangat menghormatinya dan dia sangat malu pada dirinya. Mengapa semalam aku tidak terfikir tentang malu? Dia mengutuk dirinya sendiri. Dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sampai bila-bila.

Dia bingkas bangun dari tempat beradunya. Segera ke bilik air membersihkan tubuh dan berwuduk. Dalam solatnya nanti, dia mahu sujud lama-lama mohon diampunkan dosa semalam dan dosa-dosa sebelumnya. Dia mahu baca al Ma’thurat, istighfar banyak-banyak, baca penghulu istighfar seperti kata Ybhg Dato’ Ustaz Ismail Kamus dan baca al-Quran satu juzuk. Dia yakin Allah Maha Pengampun. Itu yang diajar gurunya. Kata-kata Ustaz Jalal menjadi motivasi untuk segera berhenti dari terus terpesong mengikut jejak syaitan. ”Tiada dosa yang tidak diampun Allah.” Masih terngiang-ngiang nada penuh hikmah Ustaz muda itu. Seperti embun mengalir mendinginkan hati yang mendengarnya. ”Biar dosa sebesar mana pun, Allah akan mengampunkannya dengan syarat hambaNya itu benar-benar berazam untuk tidak mengulanginya dan menyesal serta bersungguh memohon keampunanNya.” Masih jelas di ingatannya butir-butir perkataan yang keluar dari bibir yang sentiasa mengukir senyum itu. Riak yang sentiasa tenang tidak pernah menghampakan dengan kuliah yang mengajak orang ramai mendekati penciptanya dan membuang walau secalit perasaan buruk sangka padaNYA.

Kepala paip dipulasnya. Lantas tubuhnya disapa dingin air. Kedinginan air bercampur dengan kedinginan hembusan nipis bayu yang masuk melalui celah tingkap bilik air meresap hingga ke tulang. Dia menggigil kesejukan.

Masihkah ada lagi maghfirah Allah? Dia ragu.

Mengapa tidak. Dia gesit menghambat keraguan itu jauh-jauh. Keraguan itu kemahuan syaitan. Seakan Ustaz Jalal sedang bercakap dengannnya. Azan subuh berkumandang dari surau menghentikan bicara lawwamahnya. Dia mahu segera ke surau. Mungkin sunat qabliyyah subuh dapat meredakan ketegangannya. Tidak sampai lima minit menapak, kakinya sudah pun menjejak lantai surau Al-Firdaus. Jamaah masih belum ramai. Tuan Imam mungkin sedang dalam perjalanan. Mengharap semoga dosa semalam diampun Allah, solat sunat diusahakan sebaik mungkin. Usai solat, istighfar diulangnya berkali-kali. Takut dan harap bersilih ganti.

Tuan Imam masuk. Belakangnya Ustaz Jalal. Dia tersenyum. "Lepas solat nanti aku mesti jumpa ustaz."

Bingkas bilal mengalunkan iqamah. Dan "Allahu Akbar". Bergema suara jamaah mengikuti takbiratulihram imam. Suara merdu Tuan Imam membantu dia menumpukan perhatian pada solatnya.

Selesai solat, dia segera keluar menanti Ustaz Jalal di luar surau. Dia tahu Ustaz Jalal tidak berlama-lama dalam wiridnya. Dia mahu segala yang membelit dan berkelintar sekitar mindanya segera terurai. Jangkaannya tepat. Sebentar kemudian, ustaz bangun meninggalkan tempat sujudnya. Cepat-cepat dia mendapatkan ustaz Jalal lalu menceritakan ghaflahnya walaupun tidak menyebutnya secara khusus. Di depannya adalah seorang ustaz bukan seorang paderi untuk diceritakan perbuatannya dari A hingga Z.

Seperti selalu senyuman Ustaz Jalal tidak pernah lekang dari bibirnya. Ahh... hadis itu lagi. Dia seperti kali pertama mendengarnya. ”Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya: maka Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya: maka Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Sabda Nabi: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya". (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Dengan hadis itu, Ustaz Jalal mohon izin untuk pergi. Ada kerja, katanya.

Dan pagi itu ketika sedang menikmati sarapan, dia menerima satu SMS. Ustaz Jalal nama pengirimnya. Terpampang di skrin PDAnya sebuah hadis kudsi yang bermaksud, "Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan." (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Semoga dikekalkan hidayah Allah buat aku. Dia pun mengaminkan doanya sendiri.


Ustad A
1.05 am
14 Rabi'ul Akhir 1430H bersamaan 10 April 2009M

Rabu, April 01, 2009

Berhati-hati kalau ke Thailand

Ustad A ada terima satu e-mail. Cerita orang kita yang terperangkap ketika melancong di Thailand. Buat masa ni dicadangkan supaya kita tidak ke Thailand memandangkan suasana di sana sangat huru hara manakala pihak berkuasa mereka pula suka ambil kesempatan kepada pelancong-peancong asing. Baca cerita di bawah ini.......................

Dear friends,

Kepada kita yang suka melancong ke luar negara ............ ... satu peringatan. I would like to relate to you all an incidence... ......... .......quite recent, i.e. about two weeks ago......... ..After my daughter's wedding in early February, I had gone to Shanghai(saja nak enjoy lepas penat menguruskan perkahwinan) and my cousin went to Bangkok with his wife and brother in-law. Dia orang ni pun penat juga menolong buat hantaran dsb.

Nak dijadikan cerita, waktu nak pulang ke KL menaiki Air Asia, my cousin dan isterinya berbelanja di Duty Free Shop di airport. Mereka membeli chocolates untuk cucu-cucu dan rokok untuk dirinya sendiri. Mereka telah diberitahu bahawa pembelian chocolate mereka ada free gifts berupa chocolate juga. Semuanya ini mereka letak di counter bayaran.Waktu hendak membuat bayaran, mereka ternampak ada sebungkus rokok diletak di atas 1 karton rokok yang diletak di casher, berupa rokok dari brand yang sama. My cousin telah membayar kesemua chocolates dan 1 karton rokok tersebut dan meletakkan ke dalam beg untuk di bawa keluar, tanpa memperdulikan sebungkus rokok yang terletak di atas karton rokok beliau. Nak dijadikan cerita, isterinya menunjukkan kepada rokok yang sebungkus itu yang sangkanya diberi percuma. My cousin terus mengambil sebungkus rokok tersebut dan berlalu untuk ke dewan berlepas(departure hall).

Sewaktu di Dewan Berlepas, beliau telah didatangi oleh seorang sekuriti dan bertanya kepadanya sama ada my cousin ada membeli rokok. Dengan ikhlas my cousin telah menunjukkan chocolate dan rokok yang dibelinya di Duty Free Shop tadi..... bersama dengan rokok sebungkus yang disangkanya diberi percuma. Sekuriti menuduhnya mencuri rokok tersebut dan mahu membawanya ke balai polis untuk didakwa. My cousin offered to pay for the cigarettes kerana salah faham beliau. Tetapi pihak sekuriti menolak dan masih berkeras untuk membawanya ke balai polis. Manakala isteri my cousin disuruh pergi menaiki kapal terbang. Isteri my cousin tidak mahu meninggalkan suaminya di sana dan berkeras untuk ikut sama kebalai polis. Di Balai Polis (yang terletak di kawasan lapangan terbang itu juga) my cousin telah diminta membayar ganti rugi sebanyak RM30,000 jika mahu dilepaskan. Kalau tidak beliau akan ditahan sehingga wang tersebut dibayar. Oleh kerana mereka tidak mempunyai wang sebanyak itu, mycousin telah dimasukkan ke lock-up di situ di samping ramai lagi tourists yang mendapat nasib yang sama. Manakala isterinya menumpang di rumah salah seorang kenalan mereka di Bangkok .

Bersama beliau dilock-up itu ada seorang tourist dari India telah berada di lock up itu lebih sebulan lamanya kerana keluarganya belum dapat mengumpul wang sebanyak US$70,000 kerana beliau dituduh mencuri pen (padahal tourist tersebut mengambil pen tersebut untuk membuat pembayaran di kaunter. Waktu mencari kaunter pembayaran, beliau terkeluar sedikit dari kawasan kedai tersebut, terus ditangkap dan didakwa mencuri!) Sewaktu my cousin ditahan di balai polis tersebut, adik iparnya yang menaiki MAS tidak mengetahui kisah yang berlaku kepada abang iparnya. My cousin's wife menghantar SMS kepada adiknya menyatakan kisah yang terjadi kepada mereka.. Tetapi oleh kerana adik ipar ini telah memasuki pesawat, beliau tidak boleh keluar lagi. Setiba beliau di KL, beliau berpatah balik ke Bangkok dengan menaiki pesawat MAS juga. Disamping itu keluarga my cousin di KL telah cuba menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok dan beberapa kenamaan yang lain. Pihak polis Bangkok tidak mempedulikan semua rayuan yang dibuat baik oleh Menteri-Menteri di Malaysia maupun pihak Kedutaan kita di Bangkok .

Keesokkan harinya setibanya adik ipar my cousin ini dengan pesawat MAS dari Kuala Lumpur, beliau terus saja ke lock up untuk melepaskan abang iparnya. Dari RM30,000 telah diturunkan ke RM20,000.... . tapi adik ipar my cousin ini tidak punya wang sebanyak itu. Beliau hanya ada RM11,000. Maka setelah beberapa lama berbincang, akhirnya pihak polis bersetuju dengan pembayaran sebanyak RM11,000. Belum pun sempat my cousin keluar dari balai tersebut, polis-polis ini telah membahagi-bahagikan wang tersebut sesama mereka dengan bangganya. Dan mereka sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah dengan rasuah yang diperolehi itu.

Keesokkan harinya my cousin telah dibawa ke mahkamah (pesalah hanyaberjumpa majestret melalui tingkap saja). My cousin telah disuruhmengaku salah dan didenda sebanyak 2000 baht (what happened to theRM11,000? Tak disebut pun......... ....). Nasib baik my cousin teringat kisah tourist yang didakwa bersama beliau yang keluar tanpa meminta surat dari pihak berwajib tentang penahanan beliau, lalu ditahan kedua kalinya sewaktu mahu pulang di airport Bangkok . My cousin meminta mereka mengeluarkan surat menyatakan kes beliau telahselesai dan beliau dibenarkan pulang. Sewaktu mahu membeli tiket kapal terbang pulang (tiket ini diuruskanoleh pihak imigresyen Bangkok ) beliau telah diberitahu bahawa semua tiket Air Asia telah habis terjual. Yang ada cuma tiket MAS yang ternyata lebih mahal. Oleh kerana my cousin tidak punyai wang yang banyak, beliau mau menggunakan kad kredit untuk membeli tiket MAS. Yang peliknya bila my cousin kata nak bayar tunai tiket air asia,tiba-tiba saja pegawai ni kata ada tiket lagi dengan air asia............ .... (nampaknya semua peringkat yang mengambil kesempatan)

Pihak imigresyen Bangkok telah mengecop Pasport my cousin dan isteri beliau sebagai 'Thief'! Bukan itu saja, my cousin telah digari untuk di bawa ke pesawat. Setiba di pesawat pasport beliau telah diserahkan kepada pihak Air Asia dan apabila sampai di KL pihak imigresyen KL diminta mengiring my cousin ke pejabat imigresyen di Lapangan LCCT. Waktu di pejabat tersebut my cousin telah diberitahu bahawa kejadian ini setiap harinya terjadi kepada rakyat kita........ .... tapi yang peliknya kenapa perkara ini masih dirahsiakan dari kita semua? Pihak kedutaan kita pun menyatakan perkara yang sama...... dan menasihatkan my cousin supaya memberitahu keluarga dan sahabat handai untuk tidak ke Thailand dalam waktu yang terdekat ini sehingga keadaan politik di negara tersebut kembali stabil.Sekiranya ini tidak terjadi kepada keluarga saya sendiri, saya pasti tidak mempercayainya. ..... macam cerita wayang saja....... tapi percayalah.. ... memang ini kisah benar.