Mengharap Rahmat Tuhan
oleh: Ustad A
Perlahan dia membuka matanya. Rengek si kecil menghentikan mimpi indah semalam. Seketika dia beralih ke arah si kecil sebelum matanya tertancap tepat ke jarum jam. Memang masa tidak pernah menunggu manusia dan manusia pula seperti sengaja tidak mengendahkan kehadirannya. Lalu terkeluar ayat lazim "masa mencemburui kita". Subuh masih panjang, fikirnya. Sempat lagi kalau nak layan-layan kepala. Fikirannya melayang mengingati peristiwa semalam. Dia terkhilaf lagi.
oleh: Ustad A
Perlahan dia membuka matanya. Rengek si kecil menghentikan mimpi indah semalam. Seketika dia beralih ke arah si kecil sebelum matanya tertancap tepat ke jarum jam. Memang masa tidak pernah menunggu manusia dan manusia pula seperti sengaja tidak mengendahkan kehadirannya. Lalu terkeluar ayat lazim "masa mencemburui kita". Subuh masih panjang, fikirnya. Sempat lagi kalau nak layan-layan kepala. Fikirannya melayang mengingati peristiwa semalam. Dia terkhilaf lagi.
Sudah berulang kali dia terjerumus ke dalam dosa itu. Sudah berkali-kali juga dia beristighfar menyesali keterlanjurannya. Dan pagi ini dia menyesal lagi. Sungguh-sungguh menyesal. Ahhh, sama seperti dulu. Buat kemudian menyesal kemudian ulang lagi. Dia dimarahi diri sendiri. Segalanya dilupakan. Lupa pada Allah yang sentiasa memandangnya. Lupa kepada malaikat yang mengawalnya di kiri dan kanan. Lupa pada pesan guru. Dan paling menyedihkan dia lupa siapa dirinya. Hilang malunya pada Allah, pada malaikat, pada makhluk-makhluk yang mendampinginya dan pada dirinya sendiri.
Dan pagi ini dia benar-benar malu. Malu pada Allah, pada malaikat, pada masyarakat yang selama ini sangat menghormatinya dan dia sangat malu pada dirinya. Mengapa semalam aku tidak terfikir tentang malu? Dia mengutuk dirinya sendiri. Dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sampai bila-bila.
Dia bingkas bangun dari tempat beradunya. Segera ke bilik air membersihkan tubuh dan berwuduk. Dalam solatnya nanti, dia mahu sujud lama-lama mohon diampunkan dosa semalam dan dosa-dosa sebelumnya. Dia mahu baca al Ma’thurat, istighfar banyak-banyak, baca penghulu istighfar seperti kata Ybhg Dato’ Ustaz Ismail Kamus dan baca al-Quran satu juzuk. Dia yakin Allah Maha Pengampun. Itu yang diajar gurunya. Kata-kata Ustaz Jalal menjadi motivasi untuk segera berhenti dari terus terpesong mengikut jejak syaitan. ”Tiada dosa yang tidak diampun Allah.” Masih terngiang-ngiang nada penuh hikmah Ustaz muda itu. Seperti embun mengalir mendinginkan hati yang mendengarnya. ”Biar dosa sebesar mana pun, Allah akan mengampunkannya dengan syarat hambaNya itu benar-benar berazam untuk tidak mengulanginya dan menyesal serta bersungguh memohon keampunanNya.” Masih jelas di ingatannya butir-butir perkataan yang keluar dari bibir yang sentiasa mengukir senyum itu. Riak yang sentiasa tenang tidak pernah menghampakan dengan kuliah yang mengajak orang ramai mendekati penciptanya dan membuang walau secalit perasaan buruk sangka padaNYA.
Kepala paip dipulasnya. Lantas tubuhnya disapa dingin air. Kedinginan air bercampur dengan kedinginan hembusan nipis bayu yang masuk melalui celah tingkap bilik air meresap hingga ke tulang. Dia menggigil kesejukan.
Masihkah ada lagi maghfirah Allah? Dia ragu.
Mengapa tidak. Dia gesit menghambat keraguan itu jauh-jauh. Keraguan itu kemahuan syaitan. Seakan Ustaz Jalal sedang bercakap dengannnya. Azan subuh berkumandang dari surau menghentikan bicara lawwamahnya. Dia mahu segera ke surau. Mungkin sunat qabliyyah subuh dapat meredakan ketegangannya. Tidak sampai lima minit menapak, kakinya sudah pun menjejak lantai surau Al-Firdaus. Jamaah masih belum ramai. Tuan Imam mungkin sedang dalam perjalanan. Mengharap semoga dosa semalam diampun Allah, solat sunat diusahakan sebaik mungkin. Usai solat, istighfar diulangnya berkali-kali. Takut dan harap bersilih ganti.
Tuan Imam masuk. Belakangnya Ustaz Jalal. Dia tersenyum. "Lepas solat nanti aku mesti jumpa ustaz."
Bingkas bilal mengalunkan iqamah. Dan "Allahu Akbar". Bergema suara jamaah mengikuti takbiratulihram imam. Suara merdu Tuan Imam membantu dia menumpukan perhatian pada solatnya.
Bingkas bilal mengalunkan iqamah. Dan "Allahu Akbar". Bergema suara jamaah mengikuti takbiratulihram imam. Suara merdu Tuan Imam membantu dia menumpukan perhatian pada solatnya.
Selesai solat, dia segera keluar menanti Ustaz Jalal di luar surau. Dia tahu Ustaz Jalal tidak berlama-lama dalam wiridnya. Dia mahu segala yang membelit dan berkelintar sekitar mindanya segera terurai. Jangkaannya tepat. Sebentar kemudian, ustaz bangun meninggalkan tempat sujudnya. Cepat-cepat dia mendapatkan ustaz Jalal lalu menceritakan ghaflahnya walaupun tidak menyebutnya secara khusus. Di depannya adalah seorang ustaz bukan seorang paderi untuk diceritakan perbuatannya dari A hingga Z.
Seperti selalu senyuman Ustaz Jalal tidak pernah lekang dari bibirnya. Ahh... hadis itu lagi. Dia seperti kali pertama mendengarnya. ”Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya: maka Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya: maka Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Sabda Nabi: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya". (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Dengan hadis itu, Ustaz Jalal mohon izin untuk pergi. Ada kerja, katanya.
Dan pagi itu ketika sedang menikmati sarapan, dia menerima satu SMS. Ustaz Jalal nama pengirimnya. Terpampang di skrin PDAnya sebuah hadis kudsi yang bermaksud, "Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan." (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Semoga dikekalkan hidayah Allah buat aku. Dia pun mengaminkan doanya sendiri.
Ustad A
1.05 am
14 Rabi'ul Akhir 1430H bersamaan 10 April 2009M
Ustad A
1.05 am
14 Rabi'ul Akhir 1430H bersamaan 10 April 2009M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan