Muzakarah Fatwa Kebangsaan Tidak Halang Poco-Poco Di Negeri Lain
22 April -- Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Jumaat memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.
Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.
"Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.
Bagaimanapun beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan muftinya Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.
Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau sebaliknya.
"Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat," katanya.
[BERNAMA]