Dalam sehari dua ini, Ustad A tengah syok baca buku yang baru dibeli bertajuk Benarkah Iskandar bukan Zulqarnain. Buku ini hasil kajian dan tulisan oleh Afareez Abd Razak Al-Hafiz terbitan PTS Millenia Sdn Bhd. Sekarang sudah separuh buku ini Ustad A tenung-tenung, baca-baca dan ulit-ulit. Memang menarik. Insya Allah, Ustad A nak cuba khatamkan dalam minggu ini juga. Cuma masalah Ustad A ialah mudah lupa apa yang dibaca. Tak tahulah apa sebabnya. Nak kata makan kepala ikan banyak sangat, tak pula. Mungkin kepala ikan bilis kut? Tapi yang pasti kerana banyak dosa dan banyak tengok perkara-perkara terlarang. He.. he.. Para ilmuwan berkata, ilmu mesti diikat dengan pena. Maksudnya kalau tak mahu ilmu dari bacaan hilang kena tulis apa yang kita baca. Jadi Ustad A bercadang nak gunakan ruang ini menulis apa yang Ustad A dah baca. Bukan semua, ringkasan saja. Boleh Ustad A berkongsi manfaatnya dengan rakan-rakan, murid-murid dan pengunjung-pengunjung blog. Setidak-tidaknya ada juga pengisiannya.
Berbalik kepada buku ini, ia adalah hasil kajian penulisnya tentang siapakah sebenarnya Zulqarnain yang disebut dalam surah al-Kahfi itu. Kebanyakan kita mengaitkan Zulqarnain dengan seorang Raja yang bernama Iskandar lalu dinamakan sebagai Iskandar Zulqarnain. Bahkan mengikut Buku Sejarah Melayu, raja-raja di Kepulauan Melayu merupakan keturunan Iskandar Zulqarnain.
Manakala masyarakat barat mengenali Iskandar Zulqarnain sebagai Alaxender The Great. Tetapi dibantah dengan pandangan lain yang mengatakan Iskandar Zulqarnain dan Alaxender The Great adalah dua individu yang berbeza. Menurut pendapat ini, Iskandar Zulqarnain adalah raja yang beriman manakala Alaxender The Great adalah sebaliknya.
Walaubagaimanapun pandangan penulis buku ini ternyata berbeza. Bagi beliau Iskandar dan Alaxender adalah orang yang sama. Perbezaan pada sebutan nama kerana pengaruh bahasa mengikut tempat orang-orang yang menyebutnya. Di barat menyebutnya Alaxender sedang di timur memanggilnya Iskandar. Tetapi yang lebih mengejutkan ialah penulis buku ini berpendapat Iskandar atau Alaxender bukanlah Zulqarnain seperti anggapan banyak pihak. Jadi siapakah Zulqarnain? Tunggu Ustad A habis mentelaah buku ini dulu.
Ustad A nak ingatkan juga bahawa tiada buku yang ditulis di dunia ini terjamin 100% kesahihannya. Hanya al-Quran yang betul semuanya atau kalau nak masuk senarai pun kitab hadis Sahih Bukhari dan Sahih Muslim kerana keduanya menghimpunkan hadis-hadis yang benar-benar sahih dari Rasulullah.
Begitulah halnya buku Benarkah Iskandar bukan Zulqarnain ini. Walaupun penulisnya telah melakukan kajian, namun kudrat manusia hanya terbatas. Tidak mustahil juga kalau kajiannya belum benar-benar sempurna. Tak boleh lah kita percaya 100%. Ustad A kata begitu sebab selepas ini Ustad A nak baca sebuah buku lagi yang kelihatan bercanggah dengan buku ini iaitu Alaxender Adalah Zulqarnain tulisan Muhammad Alaxender terbitan PTS Islamika Sdn Bhd.
Habis tu, siapa yang benar??? Terserah kepada kita. Manusia diberi akal untuk berfikir. Tetapi tak ramai yang ada keinginan berfikir. Ada banyak ayat dalam al-Quran menyebut, "sedikit sahaja yang mahu berfikir." Membaca adalah salah satu aktiviti berfikir. Selepas membaca kita nilai pula hujah siapa yang paling mantop. Itu pun kalau kita bersedia nak berfikir. Wassalam