Kenali Kami

Foto saya
Kuala Ketil, Kedah, Malaysia
Guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Teloi Timur, 09300, Kuala Ketil Kedah.

EXCO BKGSSKTT 2011

EXCO BKGSSKTT 2011

Pengerusi
: Mohammad Pisol bin Aziz

Naib Pengerusi : Za'im bin Omar

Setiausaha : Azrin bin Abdullah

Penolong Setiausaha : Mohd Nabil bin Othman

Bendahari : Sharifudin bin Ismail

AJK :

Yahaya bin Ismail
Ahmad Rashidi bin Jalil
Roslan bin Md. Ali
Nirmala a/p Sivanadam
Zunaidah binti Husain
Syafinah binti Mohd Saad
Azizah binti Mansor


Pemeriksa Kira-kira

Rohani binti Mat Saleh

Fauziah binti Saad

Isnin, Julai 06, 2009

Depa tak mai pun.

Khabarnya teman-teman dari SK Pulai akan datang melawat SKTT. Ramai juga, 40 orang. Kami di sekolah pun buatlah persiapan ala kadar termasuklah bihun goreng untuk menjamu tetamu yang datang.

Ustad A pun bukan main teruja lagi. Masuk kelas awal, keluar pun awal juga. Manalah tahu, kut-kut tetamu nak tengok. Kelas tak ada budak pun Ustad A masuk juga. Nak tunjuk rajinnya.

Tunggu punya tunggu, yang dinanti tak kunjung tiba. Tahu-tahu saja, cikgu-cikgu dapat sorang sebungkus bihun.

Bihun apa ni? Tanya Ustad A. Bihun pelawatlah!!!

Ustad A rasa depa ni tak jumpa jalan kut.

Ahad, Julai 05, 2009

Lupa punya hal

Seorang ulama tasawwuf pernah menyatakan sifat lupa ada yang mazmumah (tercela) dan juga ada yang mahmudah (terpuji). Sebagaimana sifat marah juga terbahagi kepada dua kategori tersebut. “Marah” menjadi terpuji apabila kita marah kepada maksiat. Tetapi “marah” juga menjadi tercela apabila kita marah-marah tanpa sebab.

“Lupa” adalah tercela jika ia melibatkan lupa buat kerja, lupa hafalan Quran, lupa maklumat dan sebagainya. Tetapi, “lupa” adalah terpuji jika kita dapat melupakan perkara keduniaan ketika kita solat. Solat mengajar kita untuk memperkuatkan “lupa” kepada perkara yang tidak perlu, mempertingkatkan konsentrasi dan menajamkan fokus serta kekebalan perasaan daripada ingatan yang tidak perlu.

Sepatutnya, dalam hidup yang penuh dengan pelbagai ujian ini, kita mempunyai kekuatan untuk lupa perkara yang sering mengganggu benak pemikiran kita. Apabila berada di rumah, lupakanlah segala kerja di pejabat. Jika berada di pejabat, lupakanlah segala pertengkaran dengan suami atau isteri sekejap tadi di rumah.

Segala kesilapan lampau yang sudah berlalu, usah dikenang-kenang. Lupakannya sebaik mungkin, lemparkan sejarah hitam lampau sejauh-jauhnya daripada kita. Kita adalah manusia, yang pasti ada dosa, noda, kesilapan dan kekurangan. Kita hanyalah mentimun. Melanggar pun sakit, dilanggar pun sakit.

Setiap perkara yang dijadikan Allah SWT tidak sia-sia termasuk sifat lupa. Perbetulkan penggunaan “lupa” yang dicipta oleh Allah SWT untuk manfaat para hamba-Nya. Tanpa lupa, kita sukar untuk bertahan di dunia ini. Tanpa lupa, kita akan sentiasa terkenang kekasih lama, tanpa lupa, kita akan terbayang-bayang celoteh anak kecil kita yang telah terkorban akibat kecuaian kita, tanpa lupa, kita akan berdendam dengan ayah ibu yang pernah memukul kita dengan melampau pada zaman kita kecil, tanpa lupa, kita akan bermusuhan dengan rakan yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita, tanpa lupa, kita akan dihantui oleh noda dan dosa dahsyat yang pernah kita lakukan.

::Ustad A selalu lupa masuk kelas.

PETUA

Waktu sembahyang Subuh disunatkan kita bertafakur (sujud sekurang-kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelakkan daripada sakit pening /migrain. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter(ml) ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud, maka darah akan mengalir ke ruang tersebut.

Kisah Nasrettin Hoca

Kalau Tanah Arab terkenal dengan Juha, seorang lelaki yang bersifat gila-gila(bukan gila!), di Turki terkenal dengan kisah Nasrettin Hoca yang perwatakannya hampir sama dengan Juha. Malah ada yang turut menggelarnya si Juha Turki.

Di tengah bandar kecil Aksehir yang diwartakan sebagai tempat kelahiran Hoca terdapat satu replika seorang lelaki yang menunggang keldai secara terbalik. Itulah Nasrettin Hoca yang apabila ditanya tindakannya dijawab selamba, bukan dia yang menyongsang, tapi keldainya yang salah arah.


Pernah suatu ketika Nasrettin Hoca berdiri di hadapan penduduk pekan Aksehir untuk berucap.

Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau bertanya kepada orang ramai.

Tak tahu!” jawab mereka.

Huh, saya tidak mahu bercakap dengan orang sejahil kamu!”, kata Nasrettin Hoca sambil berlalu pergi.

Penduduk Aksehir terkejut. Oleh kerana mereka begitu ingin tahu apa yang mahu diperkatakan oleh Nasrettin Hoca, mereka menjemputnya sekali lagi pada keesokan harinya.

Nasrettin Hoca naik ke pentas lalu berkata, “Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau sekali lagi bertanya soalan yang sama.

Tahu, tahu!” penduduk pekan Aksehir mengangguk-angguk sambil tersenyum. Mereka tidak mahu menerima nasib yang sama seperti semalam.

Oh, kalau kamu sudah tahu, tidak perlulah lagi saya berucap!” kata Nasrettin Hoca. Beliau terus beredar pergi.

Sekali lagi orang ramai terkejut. Namun, mereka belum berputus asa. Buat kali yang seterusnya, mereka menjemput beliau berucap semula keesokan harinya.

Nasrettin Hoca bertanya, “tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan hari ini?”.
Beliau memulakan ucapannya.

Tahu, tahu!” kata sebahagian hadirin.

Tak tahu, tak tahu!” kata sebahagian yang lain.

Oh, kalau begitu, mereka yang tahu beritahulah mereka yang tidak tahu!” kata Nasrettin Hoca lagi. Beliau bangun dan bingkas beredar.Manusia yang mahu bercakap dengan Nasrettin Hoca pasti akhirnya kebingungan, dari era Seljuk sampailah ke hari ini.

Ada pelbagai teori tentang siapakah sebenarnya Nasrettin Hoca tetapi bagi saya kebanyakan maklumat lebih kepada lagenda yang sukar untuk dikenal pasti kesahihannya. Apa-apa pun, tahun 1996 telah pun diisytiharkan sebagai Tahun Nasrettin Hoca oleh UNESCO.

Kita sambung lagi cerita Si Hoca ni.

Pernah suatu ketika, semasa Nasrettin Hoca masuk ke sebuah kampung, dia telah dikerumuni oleh sekumpulan pemuda yang datang membawa kitab.

Kamu nak apa?” tanyanya kepada pemuda-pemuda itu.

Kami mahu mengaji kitab, mahu menadah ilmu darimu wahai Tuan Guru,” jawab mereka.

Macam mana kamu boleh tahu yang aku ini seorang Tuan Guru?” tanya Nasrettin Hoca kepada pemuda-pemuda yang mengerumuninya itu.

Kami percaya kamu adalah seorang Tuan Guru sebab serban kamu yang besar dan hebat,” kata mereka.

Oh, kamu anggap aku ini guru kamu sebab serban aku ya. Baiklah. Nah, ambil ini dan belajarlah dari keldaiku!”, kata Nasrettin Hoca sambil menanggalkan serbannya lalu dipakaikan di kepala keldainya.

Hari ini, Tuan Guru kamu adalah keldaiku. Keldai berserban ini”, kata Nasrettin Hoca. Pemuda itu terlopong semuanya.

Suatu ketika yang lain , Nasrettin Hoca sedang duduk di sungai memasang bubu ikan. Tiba-tiba lalu seorang lelaki dan beliau cuba meramahkan diri, bertanya kepada Nasrettin Hoca, “Berapa sudah yang terkena?”

Nasrettin Hoca menjawab, “kamu adalah yang kesembilan!”

Pernah suatu ketika, Nasrettin Hoca hadir ke sebuah majlis jamuan makan. Beliau hadir dengan hanya berpakaian biasa dan ala kadar. Namun sambutan penganjur terhadapnya hampir tiada. Tidak ada sesiapa pun yang peduli akan kehadiran Nasrettin Hoca. Lalu beliau pulang ke rumah untuk mengambil baju bulu mewah yang cantik. Apabila Nasrettin Hoca tiba di majlis itu dengan penuh gaya, pihak penganjur kelam kabut menyambut kehadiran Nasrettin Hoca dan melayannya seperti seorang VIP.

Apabila makanan dan minuman dihidangkan, Nasrettin Hoca mengambil sudu lalu mencurahkan sup dan minuman yang dihidangkan kepadanya itu ke baju bulu yang dipakai.

Makanlah wahai baju, jangan segan-segan. Ternyata engkaulah tetamu kehormat hari ini, yang diraikan. Bukannya aku,” kata Nasrettin Hoca. Kesemua hadirin termenung.

Ada banyak lagi kisah lucu yang dinisbahkan kepada Nasrettin Hoca. Cerita-ceritanya bukan sekadar lucu biasa. Dalam lucu itu ada mesej yang mahu disampaikan.

Kisah-kisah rakyat seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, malah himpunan kisah Pakcik Kordi, kesemuanya menggambarkan kehalusan budaya generasi ibu bapa kita dalam mengungkapkan satu-satu mesej dan teladan. Malangnya semakin hari cerita-cerita itu semakin dilipakan. Budak-budak kita pun dah tak kenal watak-watak yang satu ketika dulu pernah popular di kalangan masyarakat.

Cerita itu mengundang ketawa. Tetapi selepas seketika, terasa bodoh kerana yang ditertawakan adalah diri sendiri.


Rujukan Ustad A: http://saifulislam.com (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil merupakan bekas pelajar Universiti Mu'tah, Jordan. Pernah bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara)

Rabu, Julai 01, 2009

Handphone saja mahal

Boleh dikatakan hampir setiap orang di Malaysia memiliki telefon bimbit. Memiliki telefon bimbit dewasa ini sudah menjadi satu keperluan khususnya di kawasan-kawasan yang sering mengalami masalah kabel TM dicuri orang. Dari jenis yang paling murah hinggalah jenis paling mahal ada pemiliknya. Berbagai jenis dan bentuk ada di pasaran. Kecil, besar, panjang, pendek, PDA, Blackberry dan entah apa-apa lagi.

Selera pembeli pula pelbagai. Ada rakan-rakan yang begitu bernafsu bila melihat jenis terbaru di pasaran. Kalau boleh mahu mendahului kekawan.

Namun apa sebenarnya tarikan yang menyebabkan keinginan memiliki telefon bimbit. Kalau sekadar mahu menelefon memadailah dengan Nokia model 1200 yang boleh dibeli dengan harga RM98.00


Tapi dengan perkembangan pesat ICT, internet juga boleh dilayari dengan telefon bimbit jenis-jenis tertentu yang pastinya lebih mahal dari Nokia 1200. Memang patutlah ada yang sukakan telefon jenis mahal untuk mendapatkan lebih banyak manfaat.

Cuma yang tak sedapnya, ada orang yang membeli telefon bimbit mahal-mahal hanya untuk diletakkan dipinggang atau dalam tas tangan. Sesekali dikeluarkan untuk dipertontonkan kepada kawan-kawan. Padahal telefonnya selalu saja off.

Telefon bukan main canggih. Tapi bila orang lain nak telefon masuk tak boleh. Itu belum lagi prepaidnya dah berhari-hari habis dan tak boleh buat panggilan keluar. Lagi hampeh. Apa maknanya ada telefon bimbit? Atau alang-alang mahal harganya, baik dijadikan perhiasan saja.

Kalau macam tu, simpan saja kat kedai lagi baik.