Kalau Tanah Arab terkenal dengan Juha, seorang lelaki yang bersifat gila-gila(bukan gila!), di Turki terkenal dengan kisah Nasrettin Hoca yang perwatakannya hampir sama dengan Juha. Malah ada yang turut menggelarnya si Juha Turki.
Di tengah bandar kecil Aksehir yang diwartakan sebagai tempat kelahiran Hoca terdapat satu replika seorang lelaki yang menunggang keldai secara terbalik. Itulah Nasrettin Hoca yang apabila ditanya tindakannya dijawab selamba, bukan dia yang menyongsang, tapi keldainya yang salah arah.
Di tengah bandar kecil Aksehir yang diwartakan sebagai tempat kelahiran Hoca terdapat satu replika seorang lelaki yang menunggang keldai secara terbalik. Itulah Nasrettin Hoca yang apabila ditanya tindakannya dijawab selamba, bukan dia yang menyongsang, tapi keldainya yang salah arah.
Pernah suatu ketika Nasrettin Hoca berdiri di hadapan penduduk pekan Aksehir untuk berucap.
“Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau bertanya kepada orang ramai.
“Tak tahu!” jawab mereka.
“Huh, saya tidak mahu bercakap dengan orang sejahil kamu!”, kata Nasrettin Hoca sambil berlalu pergi.
Penduduk Aksehir terkejut. Oleh kerana mereka begitu ingin tahu apa yang mahu diperkatakan oleh Nasrettin Hoca, mereka menjemputnya sekali lagi pada keesokan harinya.
Nasrettin Hoca naik ke pentas lalu berkata, “Tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan pada hari ini?” beliau sekali lagi bertanya soalan yang sama.
“Tahu, tahu!” penduduk pekan Aksehir mengangguk-angguk sambil tersenyum. Mereka tidak mahu menerima nasib yang sama seperti semalam.
“Oh, kalau kamu sudah tahu, tidak perlulah lagi saya berucap!” kata Nasrettin Hoca. Beliau terus beredar pergi.
Sekali lagi orang ramai terkejut. Namun, mereka belum berputus asa. Buat kali yang seterusnya, mereka menjemput beliau berucap semula keesokan harinya.
Nasrettin Hoca bertanya, “tahukah kamu, apa yang akan saya perkatakan hari ini?”.
Beliau memulakan ucapannya.
Beliau memulakan ucapannya.
“Tahu, tahu!” kata sebahagian hadirin.
“Tak tahu, tak tahu!” kata sebahagian yang lain.
“Oh, kalau begitu, mereka yang tahu beritahulah mereka yang tidak tahu!” kata Nasrettin Hoca lagi. Beliau bangun dan bingkas beredar.Manusia yang mahu bercakap dengan Nasrettin Hoca pasti akhirnya kebingungan, dari era Seljuk sampailah ke hari ini.
Ada pelbagai teori tentang siapakah sebenarnya Nasrettin Hoca tetapi bagi saya kebanyakan maklumat lebih kepada lagenda yang sukar untuk dikenal pasti kesahihannya. Apa-apa pun, tahun 1996 telah pun diisytiharkan sebagai Tahun Nasrettin Hoca oleh UNESCO.
Kita sambung lagi cerita Si Hoca ni.
Pernah suatu ketika, semasa Nasrettin Hoca masuk ke sebuah kampung, dia telah dikerumuni oleh sekumpulan pemuda yang datang membawa kitab.
“Kamu nak apa?” tanyanya kepada pemuda-pemuda itu.
“Kami mahu mengaji kitab, mahu menadah ilmu darimu wahai Tuan Guru,” jawab mereka.
“Macam mana kamu boleh tahu yang aku ini seorang Tuan Guru?” tanya Nasrettin Hoca kepada pemuda-pemuda yang mengerumuninya itu.
“Kami percaya kamu adalah seorang Tuan Guru sebab serban kamu yang besar dan hebat,” kata mereka.
“Oh, kamu anggap aku ini guru kamu sebab serban aku ya. Baiklah. Nah, ambil ini dan belajarlah dari keldaiku!”, kata Nasrettin Hoca sambil menanggalkan serbannya lalu dipakaikan di kepala keldainya.
“Hari ini, Tuan Guru kamu adalah keldaiku. Keldai berserban ini”, kata Nasrettin Hoca. Pemuda itu terlopong semuanya.
Suatu ketika yang lain , Nasrettin Hoca sedang duduk di sungai memasang bubu ikan. Tiba-tiba lalu seorang lelaki dan beliau cuba meramahkan diri, bertanya kepada Nasrettin Hoca, “Berapa sudah yang terkena?”
Nasrettin Hoca menjawab, “kamu adalah yang kesembilan!”
Pernah suatu ketika, Nasrettin Hoca hadir ke sebuah majlis jamuan makan. Beliau hadir dengan hanya berpakaian biasa dan ala kadar. Namun sambutan penganjur terhadapnya hampir tiada. Tidak ada sesiapa pun yang peduli akan kehadiran Nasrettin Hoca. Lalu beliau pulang ke rumah untuk mengambil baju bulu mewah yang cantik. Apabila Nasrettin Hoca tiba di majlis itu dengan penuh gaya, pihak penganjur kelam kabut menyambut kehadiran Nasrettin Hoca dan melayannya seperti seorang VIP.
Apabila makanan dan minuman dihidangkan, Nasrettin Hoca mengambil sudu lalu mencurahkan sup dan minuman yang dihidangkan kepadanya itu ke baju bulu yang dipakai.
“Makanlah wahai baju, jangan segan-segan. Ternyata engkaulah tetamu kehormat hari ini, yang diraikan. Bukannya aku,” kata Nasrettin Hoca. Kesemua hadirin termenung.
Ada banyak lagi kisah lucu yang dinisbahkan kepada Nasrettin Hoca. Cerita-ceritanya bukan sekadar lucu biasa. Dalam lucu itu ada mesej yang mahu disampaikan.
Kisah-kisah rakyat seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, malah himpunan kisah Pakcik Kordi, kesemuanya menggambarkan kehalusan budaya generasi ibu bapa kita dalam mengungkapkan satu-satu mesej dan teladan. Malangnya semakin hari cerita-cerita itu semakin dilipakan. Budak-budak kita pun dah tak kenal watak-watak yang satu ketika dulu pernah popular di kalangan masyarakat.
Cerita itu mengundang ketawa. Tetapi selepas seketika, terasa bodoh kerana yang ditertawakan adalah diri sendiri.
Rujukan Ustad A: http://saifulislam.com (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil merupakan bekas pelajar Universiti Mu'tah, Jordan. Pernah bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan