Kritikan merupakan satu perkara biasa dalam kehidupan. Selagi bernama manusia kita tidak akan terlepas dari dikritik dari setiap tindakan yang dilakukan. Kita biasa mendengar cerita yang kononnya dinisbahkan kepada Luqman al-Hakim. Beliau yang menunggang keldai dikritik kerana membiarkan anaknya berjalan kaki. Lalu anaknya pula menunggang keldai, dikritik juga kerana si ayah dibiar berjalan kaki. Lalu kedua-duanya naik di atas keldai, dikritik juga kerana menyiksa haiwan. Kadua-duanya turun dan berjalan, dikritik juga kerana ada keldai tapi dibiarkan tanpa ditunggang. Pendek kata, kita sukar menutup mulut semua orang untuk menerima saja tindakan yang kita lakukan.
Ketika ada pihak yang bersetuju, tetap akan ada pihak yang menentang. Ketika ada pihak yang melihat setiap tindakan yang kita ambil itu satu kebaikan, akan tetap ada pihak yang melihat tindakan tersebut akan membawa kecelakaan. Namun untuk terus melabelkan pihak yang tidak bersetuju itu sebagai penentang dan berhati busuk adalah sangat tidak wajar.
Dalam hal ini, kita perlu memerhatikan terlebih dahulu siapa yang mengkritik dan bentuk kritikan. Kritikan itu mungkin datang dari rakan, musuh atau orang tengah yang tidak berpihak.
Ada kritikan yang membina. Ada kritikan yang bermaksud membetulkan kesilapan. Ada juga kritikan yang bertujuan menjatuhkan pihak yang dikritik. Soal ikhlas atau tidak terserah kepada Allah Yang Maha Mengetahui. Justeru pendekatan terhadap kritikan itu mesti didahului dengan menilai bentuk kritikan yang dilontarkan. Jangan terburu mengecam atau memulang paku buah keras. Bimbang kalau kritikan itu datangnya dari hati yang ikhlas, rugilah padahnya.
Ihsan dari blog Azridul Menulis he.. he..